Saturday, April 6, 2013

Balu Zulkifli Mamat Terima Geran Tanah Kerajaan Perlis

 

Jasa dan pengorbanan Allahyarham Asisten Superitendan Zulkifli Mamat, anggota VAT69 yang gugur dalam pertempuran menentang pengganas di Sabah awal bulan lalu mendapat penghargaan kerajaan negeri Perlis apabila menyumbangkan sebidang tanah kepada keluarganya.

Sumbangan geran tanah berkenaan diserahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu kepada balu Allahyarham, Noor Aziah Noor di kediaman ibu bapanya di sini, kelmarin.

Md Isa berkata, sumbangan tanah berkeluasan 0.0145 hektar itu adalah kecil sahaja nilainya berbanding pengorbanan Allahyarham mempertahankan kedaulatan negara.

“Sumbangan geran tanah ini adalah tidak seberapa kerajaan negeri. Saya berharap ia dapat membantu dan meringankan beban Noor Aziah dan anak-anak,” katanya.

Sementara itu Noor Aziah yang ditemui terharu menerima sumbangan berkenaan bercadang membina rumah di tanah itu. Menurut Noor Aziah lagi, beliau berharap rumah yang dibina dapat memberi keselesaan kepada anak-anaknya meneruskan hidup.

“Alhamdulillah. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perlis di atas sumbangan geran tanah kepada kami sekeluarga berdekatan rumah ibu bapa saya. Saya amat menghargai sumbangan yang diberikan,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyerahan sumbangan ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid, Exco Belia dan Sukan Negeri, Jamil Saad dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Sabry Ahmad dan Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri, Hisan Abu Bakar.

No comments:

Post a Comment