Polis semalam mengulangi ingatan kepada pihak yang berkenaan agar berhati-hati ketika membuat kenyataan menerusi media sosial sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini, bagi mengelak pelanggaran undang-undang terutama berkaitan hasutan.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yusof berkata ini berikutan perang siber semakin rancak, membabitkan parti politik, penyokong mereka dan pelbagai pihak lain.
"Kadang-kadang semasa kita teruja, kita menulis secara tidak bertanggungjawab. Perkara ini dipantau polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengelak penyebaran gejala hasutan dan sebagainya," katanya pada taklimat media sempena PRU13, di Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam.
Ramli berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan PRU13 menerusi laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran operasi polis sepanjang PRU13, seramai 11 pegawai kanan dilantik untuk memantau 14 kontinjen.
Mereka ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan memantau kontinjen Negeri Sembilan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Bakri Zinin (Sabah), Pengarah JSJ Komersil Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan (Kedah dan Perlis), Pengarah Pasukan Petugas Khas Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (Perak) dan Pengarah Pengurusan Datuk Mortadza Nazarene (Sarawak).
Turut terbabit Pengarah JSJ Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim yang akan memantau kontinjen Kelantan dan Terengganu, Pengarah Jabatan Logistik Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah (Johor dan Melaka), Pengerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara Datuk Wira Ayub Yaacob (Pahang), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Salleh Mat Rasid (Kuala Lumpur), sementara Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Datuk Eo Chong Cheong (Pulau Pinang) dan Pengarah I JKDNKA Datuk Abd. Rahman Hussin pula akan memantau kontinjen Selangor.
Kata Ramli sepanjang PRU13 Bukit Aman akan mengadakan taklimat media dua kali sehari.
No comments:
Post a Comment