Saturday, April 27, 2013

Cadangan Husam Batal Festival Belia Dikecam

Ahmad Shabery(berdiri di tengah) dan Tengku Adnan bersama warga belia melaungkan slogan 1Malaysia selepas taklimat Festival Belia 2013 di Putrajaya semalam.
 
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengecam cadangan calon Pas bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa untuk membatalkan Festival Belia 2013 sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurut Ahmad Shabery, cadangan itu amat dikesali kerana kos yang dikeluarkan kerajaan untuk menganjurkan festival itu sebahagian besarnya ditanggung oleh pihak swasta.


“Kos pembiayaan yang dikeluarkan kerajaan tidak besar kerana kebanyakannya ditanggung pihak swasta yang melihat pulangan yang akan mereka peroleh.

“Mungkin dia (Husam) boleh lihat lambang-lambang penaja yang mengambil bahagian pada Himpunan Jutaan Belia tahun lalu,” katanya selepas menghadiri taklimat festival berkenaan di Menara KBS di Putrajaya, semalam.

Turut hadir, calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Kelmarin, Husam menyatakan hasrat untuk membatalkan Festival Belia 2013 dan menyalurkan dana penganjurannya ke Tabung Ekonomi Belia jika memenangi PRU-13.

Ahmad Shabery berkata, cadangan Husam itu menunjukkan dia tidak mempunyai maklumat yang cukup tentang penganjuran Festival Belia.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment