Thursday, April 18, 2013

Calon Baharu Kalangan Pegawai Kerajaan T'ganu Ikrar Manfaat Pengalaman

Zuber...Kuala Terengganu
Beberapa muka baharu calon Barisan Nasional (BN) Terengganu yang terdiri daripada guru dan pegawai kanan kerajaan berjanji membawa perubahan jika menang pada Pilihan Raya umum kali ini.

Mereka yang diwajibkan melepaskan jawatan sebelum PRU13 pada 5 Mei ini berazam menggunakan pengalaman semasa berkerja untuk memastikan kemenangan BN.

Pemilihan empat pendidik sebagai calon Barisan Nasional (BN) Terengganu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dilihat mampu mencorakkan pemikiran masyarakat lebih terbuka terutamanya dalam kalangan muda sehingga ke peringkat akar umbi.


Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin berkata keempat-empat guru yang dipilih adalah kompeten dan merupakan penjawat awam yang cemerlang dalam menjalankan tugas hakikinya.

"Walaupun pemilihan tersebut merupakan kehilangan besar kepada jabatan, tetapi sumbangan mereka amat diperlukan untuk berkhidmat kepada masyarakat di negeri ini melalui bidang politik pula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis persaraan Ahmad Zawawi Mat Junoh, Pengetua Cemerlang DG54 Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, semalam.

Empat guru yang menjadi calon wakil rakyat ialah Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Zakariah Ali, Ketua Sektor Pengurusan Akademik Mohd Zuber Embong, serta dua guru sekolah Bazlan Abdul Rahman dan Razali Taib.

Zuber yang akan bertanding di kawasan Parlimen Kuala Terengganu pula berkata asas perjuangannya nanti ialah memastikan agenda pendidikan negeri Terengganu terus melakar kecemerlangan supaya generasi muda Terengganu dapat memberi sumbangan besar kepada negara.

"Saya menyertai JPNT pada tahun 1996 dan ketika itulah bermulanya cabaran untuk memastikan Terengganu yang menduduki tempat ke-11 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melakukan pelbagai transformasi.

"Hasilnya kini Terengganu berjaya muncul negeri nombor satu dalam beberapa peperiksaan utama negara dan InsyaAllah kita akan bekerja keras memastikan Terengganu terus menjadi negeri anjung ilmu," katanya.

Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kelmarin mengumumkan Mohd Zuber dipilih untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu, Zakariah (DUN Sura), Bazlan (DUN Batu Rakit) dan Razali (DUN Ajil).

Beliau berkata proses peletakan jawatan keempat-empat guru berkenaan sedang diurus jabatan dan kesemua guru berkenaan telahpun mengambil dan mengisi borang peletakan jawatan daripada jabatan sejak semalam.

Zakaria percaya keempat-empat guru berkenaan dapat menyumbang terus dalam meningkatkan prestasi pendidik di Terengganu walaupun mereka akan berada dalam bidang yang berlainan kelak.

Sementara itu, bagi calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari (kiri), beliau akan memberikan tumpuan untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar seperti yang dikehendaki kerajaan.

Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu berkata pengalaman dan kepakaran sepanjang bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta akan memudahkan beliau mencurah bakti kepada masyarakat.

Calon Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan Abdul Latif Awang (kanan) pula menyifatkan pengumuman 15 calon muka baharu BN negeri ini untuk PRU13 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkasa jentera BN.

"Semua pembangunan yang dilaksanakan BN selama ini akan diteruskan dengan lebih cemerlang andainya rakyat memberi mandat besar pada PRU13 ini," katanya semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen di Jalan Duta Kuala Lumpur Che Mohamad Zulkifly Jusoh (kiri) , yang dicalonkan bertanding bagi kerusi Parlimen Setiu sudah bersedia untuk berkempen menghadapi isu berkisar masalah tempatan di kawasan itu.

"Saya bukan orang politik. Saya hanya anggota biasa dalam Umno. Namun, walaupun saya di Kuala Lumpur, saya masih ambil tahu apa juga perkembangan di Setiu melalui kawan-kawan.

"Walaupun agak terkejut, namun saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam pilihan raya kali ini yang pastinya akan menentukan kelangsungan nasib bangsa, agama dan negara," katanya.

Bagi Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar (kanan) yang dicalonkan di DUN Jabi pula, kepercayaan yang diberi pucuk pimpinan kepadanya akan dimanfaatkan dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan itu.

"Ini ialah satu penghormatan kepada golongan muda... mungkin saya banyak mendekati golongan muda selama ini, aktif berpersatuan dan akan terus membawa suara orang muda sebagai aset negara yang akan terus dibela oleh BN," katanya.


No comments:

Post a Comment