Effa Owana diasak pemain pemain pertahanan Negeri Sembilan kelmarin. |
Itulah yang sedang dilakukan Terengganu yang melangkah ke separuh akhir Piala FA dengan bergaya. Ia dengan mudah menjinakkan Negeri Sembilan 3-0 dalam pertemuan suku akhir kedua sekali gus mara dengan agregat 6-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang kelmarin.
Tiga pasukan Pantai Timur, selain Terengganu dan Kelantan ialah Pahang menempah tiket ke separuh akhir Piala FA 2013.
Kelantan sebagai juara bertahan menumpaskan Sarawak menerusi agregat 4-1. Pahang pula atasi Sime Darby menerusi agregat 2-0.
Nunez menjaringkan gol kedua Johor DT pada separuh masa kedua dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam kelmarin. |
Pada perlawanan di tempat sendiri, Terengganu turun berbekalkan kelebihan dua gol selepas menang 3-1 di Paroi, berada di depan menerusi pemain sayap, Ashari Shamsuddin pada minit ke-24.
Berpunca sepakan sudut yang diambil Ismail Faruqi Ashari pantas disambar penyerang import, Jean-Emmanuel Effa Owona dengan sepakan kencang dalam kotak penalti untuk menambah duka bekas pasukannya dengan jaringan kedua pada minit ke-53.
Penyerang dari Cameroon itu yang jelas menjadi duri dalam daging kepada barisan pelawat bimbingan Divaldo Alves melengkapkan kemenangan bergaya skuad Penyu pada minit ke-70 apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Fauzi Nan menjatuhkannya.
Pengendali Terengganu, E Elavarasan berkata, biarpun turun dengan bekalan dua jaringan, tetapi anak buahnya beraksi dengan penuh semangat.
Katanya, kejayaan pasukan itu sedikit sebanyak mengubat duka kekalahan kepada Johor Darul Takzim (JDT) 1-0 Sabtu lalu.
"Biarpun bermain dalam cuaca yang panas sehingga permainan menjadi perlahan, pemain dapat mengatasi masalah itu. Apa yang penting, kita melangkah ke separuh akhir menentang Kelantan dan sasaran saya selepas ini mahu memastikan pasukan mara ke final pula," katanya.
Sementara itu, penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Al-Hafiz Hamzah muncul wira apabila menyelamatkan sepakan Mahalli Jasuli dan K Gurusamy untuk kemenangan 4-2 ke atas Selangor pada penentuan sepakan penalti aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.
Kedudukan agregat terikat 3-3 selepas JDT berjaya mencatat kemenangan 2-1 pada aksi 120 minit permainan, malam tadi berikutan keputusan aksi suku akhir pertama di Larkin, 6 April lalu yang menyaksikan Selangor menang 2-1.
Semua empat sepakan penalti JDT berjaya disempurnakan Lionel Nunez, Safee Sali, Andre Francisco Da Silva dan Farid Ramli manakala bagi Selangor, hanya sepakan Asraruddin Putra Omar dan Amri Yahyah menerjah jaring. JDT bakal bertemu Pahang pada separuh akhir, 25 dan 28 Mei depan.
Tambahan masa Terdahulu, Selangor di hadapan pada minit ke-29 menerusi rembatan cantik Mahalli yang melakukan larian pantas selepas menerima lorongan cantik Amri untuk menewaskan Al-Hafiz.
Bagi memperkuatkan jentera serangannya, jurulatih JDT, Fandi Ahmad memasukkan Safee sebaik babak kedua bersambung, namun jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pula terpaksa mengeluarkan Francis Forkey Doe pada minit ke-47 kerana kecederaan buku lali.
Usaha JDT untuk menyamakan kedudukan berhasil apabila mereka berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-66 menerusi rembatan kencang Nunez, penyerang import baru dari Argentina yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.
Permainan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan selepas JDT memperoleh gol kedua pada minit ke-86, juga menerusi rembatan cantik Nunez untuk mendahului 2-1, sekali gus mengikat agregat 3-3, tetapi tiada tambahan jaringan pada 30 minit masa tambahan memaksa penentuan sepakan penalti.
No comments:
Post a Comment