Saturday, April 20, 2013

Calon BN Diminta Hadir Awal Ke Pusat Penamaan Calon


Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dinasihatkan supaya datang awal ke pusat penamaan calon esok serta mengisi semua borang dengan lengkap.

Ketua Penerangan dan Publisiti BN Datuk Ahmad Maslan berkata penyokong yang hadir memberi sokongan kepada calon juga perlu memberikan kerjasama bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon itu.

"Saya harap proses penamaan calon esok berjalan lancar, calon perlu semak borang dengan teliti mengikut peraturan yang ditetapkan dan pastikan pencadang dan penyokong ada bersama.

"Penyokong (di luar pusat penamaan) pula perlu jaga ketenteraman, jangan emosional atau terlalu ikut perasaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Proses penamaan calon akan bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh negara.

Mengenai tempoh berkempen, beliau berkata sebanyak 20 ceramah disasarkan akan diadakan sepanjang 15 hari berkempen di setiap kawasan Parlimen, 10 untuk sesi siang dan 10 lagi untuk sesi malam.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan jaminan bahawa penyokong parti itu akan turun dengan penuh disiplin dan mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Senarai calon kita semuanya sudah muktamad dan tidak ada perubahan," katanya.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, juga berharap hari penamaan calon akan berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini.

No comments:

Post a Comment