Saturday, April 20, 2013

Bantuan, Insentif Kepada Orang Ramai Bukan Rasuah

Pemberian bantuan dan beberapa insentif perkhidmatan awam kepada penjawat awam mahu pun orang ramai, bukanlah satu kesalahan rasuah, kerana keputusan mengenai pemberian itu diluluskan kerajaan pusat sebelum Dewan Rakyat dibubarkan awal bulan ini.

Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata ia bermakna peruntukan untuk pemberian itu sudahpun "dibelanjawankan", cuma masa pengumumannya dibuat selepas Dewan Rakyat dibubarkan.

Beliau berkata pelancaran manifesto dan janji oleh semua parti politik ketika berkempen tidak boleh dianggap sebagai membeli undi, dan menurutnya semua janji serta manifesto secara menyeluruh yang terpakai oleh semua orang bukanlah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya.

Menurutnya pada 2009 Mahkamah Persekutuan pernah membuat keputusan bahawa janji-janji untuk membawa pembangunan yang dibuat semasa kempen pilihan raya, tidak boleh dielak, kerana "jika tiada janji sedemikian ia akan menjadikan sesuatu pilihan raya itu tidak bermakna langsung".

"Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa ia bukanlah satu perbuatan rasuah," katanya pada persidangan media di ruang lobi Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Beliau merujuk kepada beberapa laporan media semalam yang memetik kenyataan Setiausaha Agung Transparency International Malaysia (TI-M) Josie M Fernandez sebagai berkata Barisan Nasional melanggar Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International yang ditandatangani pada 20 Februari lepas.

Laporan itu turut menyenaraikan beberapa contoh seperti pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perluasan pemberian kad diskaun 1Malaysia dan pembinaan kompleks RM400 juta di Perak, sebagai melanggar ikrar integriti itu.

Sementara itu, Tun Abdul Majid berkata dalam tempoh 24 jam sejak pukul 2 petang semalam, Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap 38 kes berhubung pelbagai kesalahan yang dikaitkan dengan pilihan raya umum ke-13, ekoran ketiadaan suspek mahu pun saksi bebas.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 27 kes diarahkan untuk siasatan lanjut, merangkumi kes-kes berkaitan khianat, khianat menggunakan api, menyebabkan kecederaan, ugutan jenayah, perhimpunan tanpa notis dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment