Thursday, April 4, 2013

C.N Afghani Minta Maaf Secara Peribadi Kepada Tun Dr Mahathir


Bekas ahli seumur hidup Pas Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena C.N Afghani yang pernah merancang untuk membunuh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1988, semalam berpeluang bertemu bekas perdana menteri itu bagi memohon maaf.

Pada pertemuan itu, Zainon turut disertai wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dari Kelantan yang juga merupakan bekas penyokong PAS, antaranya Persatuan Minda Pondok dan Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, penulis buku "Kafirkah Aku?" itu berkata tindakan memohon maaf itu diambil berdasarkan kesedaran beliau terhadap kesalahannya sebelum ini dan berasa lega apabila Dr Mahathir menerima permohonan maafnya.

Beliau berkata antara faktor utama tindakan itu adalah kerana rancangan bunuh itu adalah dibuat berdasarkan 'Amanat Haji Hadi' yang mengkafirkan Umno kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, namun pada Januari 2003 Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini adalah Presiden Pas, pernah menyatakan bahawa perlembagaan tersebut boleh diguna pakai jika pakatan pembangkang memerintah.

"Maknanya apa yang Tun buat selama ini memang betul, jadi saya yang pernah merancang untuk membunuh dia sewajarnyalah saya minta maaf," katanya.

Penasihat Persatuan Minda Pondok Abdullah Sa'amah berkata kedatangan mereka bertemu bekas perdana menteri juga bagi menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir yang merupakan pemimpin lagenda negara.

"Memang waktu dalam Pas dulu banyak kami bersalah, kami tersilap, jadi kami nak jumpa tuan tubuh sendiri nak minta maaf apa yang telah kami tersilap. Kami tak mau mati dengan tersilap.

"Kami juga yakin bahawasanya tidak ada perjuangan lain untuk keselamatan orang Melayu dan orang Islam melainkan bersama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau menerima permohonan maaf itu dengan hati yang terbuka, dan bersyukur kerana mereka sedar kesalahan mereka selama ini.

Beliau juga berkata orang Melayu tidak sepatutnya berpecah kerana apabila berpecah, orang Melayu akan jadi lemah dan terpaksa menjadi pengemis serta meminta pertolongan orang lain.

"Orang tak beri pertolongan secara percuma. Kalau dia bagi pertolongan dia nak sesuatu, jadi kita hilang kuasa," kata Dr Mahathir.

No comments:

Post a Comment