Friday, April 19, 2013

DAP Selangor Gugur 2 Bekas Exco - Ronnie Liu & Teresa Kok


DAP membuat kejutan apabila menggugurkan dua ahli Exco Selangor, Ronnie Liu dan Teresa Kok daripada senarai mereka yang akan bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

 Liu yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran dengan tempatnya digantikan oleh Tan Pok Shyong.

Kok pula selaku Pengerusi DAP Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor terpaksa melepaskan kerusi DUN Kinrara kepada Ng Sze Han dan hanya bertanding di kerusi Parlimen Seputeh.

Fernandez(tiga dari kiri) dan beberapa ahli DAP mengumumkan keluar dari parti itu dan bertanding sebagai calon bebas di Seremban semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika mengumumkan senarai calon parti itu semalam tidak menyatakan punca kedua-duanya tidak terpilih, sebaliknya beliau sekadar memberi alasan parti itu ingin menampilkan 11 muka baharu di Selangor untuk menghadapi PRU-13.

Liu ketika dihubungi berkata, beliau sebelum ini berharap agar dicalonkan untuk kerusi Parlimen.

“Saya hendak bertanding di Parlimen, tetapi nampaknya sudah tidak boleh kerana kerusi Parlimen tidak ada lagi untuk saya,” katanya.

Kok pula mengakui rela melepaskan kerusi Kinrara dan memilih bertanding di Parlimen bagi membolehkannya menjadi menteri jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.

Beliau memberitahu, keputusan itu juga dipengaruhi arahan pucuk pimpinan agar calon hanya boleh bertanding kerusi DUN atau Parlimen.

Mengulas strategi pemilihan DAP itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, tindakan menggugurkan dua nama besar itu mungkin bertujuan mengelak DAP daripada dibelenggu calon-calon yang bermasalah di dalam parti.

“Kedua-dua tokoh itu sebelum ini banyak menimbulkan isu sensitif terutama melibatkan orang Islam di Selangor seperti isu penjualan arak, laungan azan serta tulisan Jawi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Mohd. Fuad Mat Jali pula berkata, pengguguran mereka mungkin dibuat selepas mengambil kira faktor kekuatan senarai calon Barisan Nasional (BN) di Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, kemelut dalaman DAP turut berlaku di Negeri Sembilan apabila empat ahlinya termasuk penyandang kerusi Parlimen Seremban, John Fernandez mengumumkan keluar parti dan akan bertanding sebagai calon bebas.

Fernandez bersama tiga lagi ahli parti itu, S. Vijayan, S. Rajashegar dan R. Sasikumar mengadakan sidang akhbar di Seremban semalam selepas tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan parti itu.

Beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Seremban manakala Vijayan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang; Rajashegar (Nilai) dan Sasikumar (Temiang).

Di Kedah, Pengerusi DAP negeri, Lee Guan Aik pula digugurkan sebagai calon, sekali gus tidak akan mempertahankan kerusi DUN Kota Darul Aman.

Guan Aik sebelum ini dikatakan sering tidak sealiran dengan pucuk pimpinan DAP dan mendesak agar parti itu meletakkan lebih ramai calon di Kedah..

Kosmo!

No comments:

Post a Comment