Saturday, April 13, 2013

DUN Bandar Perlu Terus Diwakili Kaum Tionghua - Ahmad Said


Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di sini perlu terus diwakili kaum Cina menerusi penyandangnya Datuk Toh Chin Yaw bagi memastikan kebajikan mereka kekal terbela.

Justeru, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kaum Cina harus memberi sokongan padu kepada Toh yang juga Pengerusi MCA negeri, bagi menjamin suara kaum Tionghua terus diwakili pada peringkat kerajaan negeri.

"Kalau MCA kalah kerana orang Cina tidak beri sokongan, maknanya orang Cina tiada wakil. Ini bukan soal parti, ini soal wakil masyarakat Tionghua dalam DUN," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional negeri, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Beliau mengulas perkara itu susulan desas-desus bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meletakkan Azan Ismail yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota di Pahang, untuk menentang Toh pada pilihan raya umum kali ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Toh mempertahankan DUN Bandar dengan majoriti 1,142 undi mengatasi calon PKR Dr Abdul Manaf Che Mat.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak pernah mengetepikan kaum Cina dan perkara itu dibuktikan menerusi pelantikan Toh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar.

Terengganu merupakan negeri yang majoriti penduduknya Melayu dan lazimnya pada setiap pilihan raya menyaksikan pertandingan antara calon Melayu membabitkan BN dan PAS.

 DUN Bandar yang terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu merupakan satu-satunya kerusi tradisi yang ditandingi MCA di negeri itu.

No comments:

Post a Comment