Thursday, April 4, 2013

DUN Terengganu Bubar Malam Semalam, MB Hadiri Mesyuarat MT UMNO

Ahmad Said ceria menjawab soalan wartawan mengenai pembubaran Dewan Rakyat diumumkan Perdana Menteri semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan pembubaran Dun Terengganu berkuat kuasa semalam untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ahmad Said yang membuat pengumuman itu pada pukul 10 malam tadi berkata, beliau telah menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Nur Zahirah pada pukul 7.45 malam untuk mendapat perkenan baginda.

"Pukul 9 pagi esok (hari ini), Speaker DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang akan menghantar notis pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya kepada pemberita di Dungun, malam semalam.

Pada sidang media selepas mesyuarat Exco semalam, Ahmad Said berkata pembubaran DUN Terengganu akan dibuat selepas diperkenankan Sultan Terengganu.

Pada PRU12 Barisan Nasional (BN) Terengganu menguasai Dun Terengganu dengan majoriti dua pertiga apabila menang 24 daripada 32 kerusi Dun manakala untuk kerusi Parlimen, parti gabungan itu menang enam daripada lapan kerusi.

Ahmad Said turut mengesahkan bahawa beliau akan kekal bertanding bagi kerusi Dun Kijal pada PRU13 kali ini.

Hari ini beliau di Kuala Lumpur kerana menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Johor dijangka mengumumkan pembubaran Dun esok bagi membolehkan pilihan raya umum negeri itu diadakan serentak dengan pilihan raya Parlimen.

 Difahamkan Pejabat Menteri Besar tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pembubaran Dun Johor pada hari ini dan urusan itu dijangka hanya akan berlaku esok.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman semalam mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di pusat pentadbiran kerajaan di Kota Iskandar namun beliau tidak mengadakan sidang akhbar selepas itu.

Difahamkan Abdul Ghani berlepas ke Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno.

No comments:

Post a Comment