Friday, April 5, 2013

Edar Dadah - Dua Sahabat Berdepan Hukuman Gantung


Dua sahabat berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, semalam.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Aznan Aziz, 25, dan Mohd Rizli Khalid, 35, masing-masing beralamat di Kampung Bukit Tunggal,  didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 420gram (berat kasar) di sebuah rumah di Kampung Bukit Tunggal, di Kuala Terengganu, kira-kira jam 11 pagi pada 20 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud di hadapan Majistret Noradila Ab Latiff, manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam bela.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Noradila menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Tiada sebarang ikat jamin ditawarkan.

Sinar Harian pada 20 Mac lalu melaporkan polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis heroin paling aktif di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Dungun.

Dalam serbuan itu, polis menemui satu bungkusan plastik, di dalamnya terdapat 100 botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah, dianggarkan bernilai RM55,000

SH Online

No comments:

Post a Comment