Saturday, April 27, 2013

Jangan Ulangi Kesilapan 1999 - Idris Jusoh

Calon Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak mengulangi kesilapan pada tahun 1999 yang menyaksikan negeri ini jatuh ke tangan PAS.

Beliau berkata ini kerana selepas memenangi pilihan raya umum ke-11 (PRU11) PAS telah melakukan pelbagai kemungkaran, penganiayaan dan bersikap tamak sehingga 2004.

"Tidakkah rakyat Terengganu ingat di mana pemimpin PAS berebut-rebut kawasan balak termasuk menerokai tanah kosong untuk ahli-ahlinya serta tidak mengotakan janji yang telah dibuat mereka," katanya semasa berucap pada lebih 150 penduduk Perumahan Taman Teratur di Jerteh, semalam.

Idris yang juga bekas menteri besar berkata sejarah itu pasti akan berulang jika kuasa pemerintahan diberikan lagi kepada PAS kerana perjuangan mereka bukan untuk membangunkan Terengganu tetapi untuk membolot segala kemewahan yang ada di Terengganu.

"Sebab itulah ketika berceramah, calon-calon pembangkang tidak pernah memberitahu tentang rancangan masa depan mereka tetapi asyik menuduh calon-calon Barisan Nasional dengan tomahan dan fitnah yang tidak benar bagi menimbulkan kebencian rakyat kepada pemerintah," katanya.

Idris yang juga Pengerusi Mara berkata kerajaan mempunyai banyak rancangan pembangunan untuk dilaksanakan sekiranya terus diberi mandat pada PRU13.

No comments:

Post a Comment