Saturday, April 27, 2013

Sultan Johor Ketuai Senarai Anugerah Terengganu


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mengetuai 324 penerima darjah kebesaran Terengganu sempena Hari Keputeraan ke-51, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

Sultan Ibrahim adalah penerima tunggal Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Pertama (DK).
Majlis penganugerahan darjah kebesaran kepada semua penerima akan diadakan di Balai Istiadat, Istana Bukit Chendering, pada 9 Julai depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, pula menerima darjah peringkat pertama Seri Paduka Mahkota Terengganu (SPMT) yang membawa gelaran Datuk bersama dua lagi penerima, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Penglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh pula penerima darjah kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (DSMZ) yang membawa gelaran Datuk.

Mazlan berkata, seramai 13 orang termasuk EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ashaari Idris, dan EXCO Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, menerima darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk.

Katanya, penerima lain DPMT ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman; Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Datuk Raja Arif Raja Ali; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Che Abd Rahim Nik dan Pengarah Kerja Raya, Shafii Mohamad; Turut menerima DPMT ialah Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah, Abdul Wahab Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah RISDA, Mohamat Muda; Pengarah Perbadanan Perpustakaan negeri, Nor Akmal Abdul Fatah; Pengarah Kanan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Halal Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Samsiah Awang; Naib Yang Dipertua PERKAYA, Harun Hassan; Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohamed Anwar Omar Din dan Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Badrul Shah Badaruddin.

Seramai 21 orang pula akan menerima darjah kebesaran Setia Mahkota Terengganu (SMT) manakala 26 menerima darjah kebesaran Sultan Zainal Abidin Terengganu (AMZ), katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Mazlan berkata, seramai 36 orang pula akan menerima darjah kebesaran Ahli Mahkota Terengganu (AMT), enam Pingat Jasa Cemerlang (PJC), 18 Pingat Bintang Lama Berjawatan (BLB), 169 Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 23 lagi menerima Pingat Lama Berjawatan (PLB).

No comments:

Post a Comment