Thursday, April 25, 2013

Jelajah Kempen Ahmad Said Berterusan, Tekankan Perpaduan & Kemenangan Cemerlang

Ahmad Said berbual dengan bekas ADUN, Khazan Che Mat ketika melawat DUN Batu Rakit semalam.
 "Ahmad Said menekankan perpaduan dalam parti, kerjasama, menolak ‘cah keting’ dan merapatkan saf jentera pilihan raya bagi menjamin kemenangan cemerlang BN kali ini."

Analisis Hambali Abdul Latiff

Hari ini masuk hari ketiga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai ‘peneraju’ Pilihan Raya Umum ke-13 Terengganu menjelajah hampir 16 jam setiap hari ke kawasan Parlimen.

Beliau ‘meninggalkan’ Parlimen Kemaman dan kawasan yang ditandinginya – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal – semata-mata untuk membantu calon-calon Parlimen dan DUN di semua lapan kawasan Parlimen dan DUN yang bertanding untuk kemenangan cemerlang Bn kali ini.

Biasanya apabila selepas penamaan calon, pemimpin akan berada di kawasan masing-masing dan ‘menjaga kawasannya sebaik dan selama mungkin’. Kata orang berkurunglah siang dan malam.

Namun tidak dengan Ahmad Said – juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar Terengganu.

Beliau mengambil langkah yang sama dengan pemimpin negara, khususnya Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus menjelajah ke negeri-negeri untuk menjamin kemenangan cemerlang bagi kerusi Dewan Rakyat.


Bermula dengan Parlimen Besut kelmarin dan semalam Setiu, hari ini Ahmad Said berada di Parlimen Hulu Terengganu sejak pagi dan hingga lewat mala mini.

Segala-galanya ini dilakukan untuk membantu calon-calon Parlimen dan DUN agar rakyat yakin bahawa mereka adalah calon pilihan Ibu Pejabat BN Pusat yang ditentukan oleh Najib dan kepimpinan tinggi parti.

Dengan kehadiran Ahmad Said ke semua kawasan Parlimen dan DUN turut membuktikan bagaimana padunya UMNO dan BN Terengganu dalam mengharungi pilihan raya ini.

Ahmad Said tidak berceramah ke sana sini seperti pemimpin PAS, termasuk melemparkan fitnah kepada BN pada kempen pilihan raya.


Pengerusi BN ini mengambil pendekatan mengunjungi rakyat, makan bersama rakyat, bertukar pendapat sambil menyertai program untuk bersama rakyat.

Pada ucapan di hadapan penyokong parti yang diatur sempena lawatan, Ahmad Said menekankan perpaduan, kerjasama, menolak ‘cah keting’ dan merapatkan saf jentera pilihan raya. Tujuannya ialah menjamin kemenangan cemerlang BN kali ini.

Malah ketika mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihan raya DUN Kuala Besut, petang kelmarin, Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan mencadangkan Perdana Menteri melantik Ketua UMNO Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai salah seorang anggota kabinet apabila Barisan Nasional (BN) berkuasa semula selepas pilihan raya nanti. 

Berikutan itu, bagi mempastikan harapan itu berjaya pengundi di Parlimen Besut perlu mempastikan Idris calon Parlimen Besut,mendapat manjoriti besar dalam PRU13.

Malah, Ahmad Said juga menafikan tomahan sesetengah pihak beliau dan Idris bermusuhan dalam politik sejak krisis jawatan Menteri Besar pada 2008.


“Itu anggapan orang dan sememangnya dalam politik macam-macam orang melihat pemimpin, yang pasti kami tekad untuk bekerjasama mempastikan BN kekal di Terengganu,” katanya.

Amat nyata usaha menggunakan perpecahan UMNO untuk menumbangkan BN Terengganu tidak akan berjaya.

Malah, bukan sekadar itu sahaja.

Bekas ADUN BN yang tidak bertanding, turut hadir pada majlis Menteri Besar turun padang ini.


Ini menggambarkan suasana perpaduan yang amat jitu di kalangan BN dan harapan PAS dan PKR menggunakan ‘perpecahan dalaman UMNO’ sama sekali kantoi!

Hakikatnya perpaduan inilah akan menjadi salah satu kekuatan BN selain aku janjinya yang menawarkan keamanan dan kemakmuran kepada rakyat Terengganu.

Apapun jelajah Menteri Besar akan berterusan dan sejauh ini tidak diketahui lagi, bila Ahmad Said akan ke Kemaman dan kawasan DUNnya sendiri!

No comments:

Post a Comment