Tuesday, April 30, 2013

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Sedih Pencerobohan Masih Dianggap Lakonan


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Shamsudin Mat sedih dan duka cita kerana peristiwa pencerobohan sekumpulan militan di Lahad Datu, Sabah masih dianggap lakonan oleh pihak tertentu demi kepentingan mereka.

Sebagai pegawai keselamatan pertama yang menyaksikan kehadiran sekumpulan penceroboh dari Filipina pada 12 Februari lepas, beliau berkata peristiwa itu benar-benar berlaku di depan matanya.

Selepas itu, katanya, beberapa rundingan diadakan antara pasukan keselamatan dan penceroboh tanpa mencapai kata sepakat sebelum meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia untuk melancarkan serangan balas.

"Ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku. Kalau dikatakan ia adalah lakonan, saya amat sedih kerana ia melibatkan kematian lapan anggota pasukan keselamatan,” katanya ketika berucap pada Forum Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama anjuran Jabatan Penerangan di Pejabat Pelajaran Daerah Bachok di Tangok semalam.

Majlis perasmian forum bertema 'Peristiwa Lahad Datu Satu Pengajaran' disempurnakan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Shamsudin berharap kira-kira 600 orang yang menghadiri majlis itu, termasuk pegawai penerangan daerah, pelajar dan pemimpin masyarakat, dapat menyampaikan mesej sebenar kepada rakyat berhubung kejadian berkenaan.

Sejak memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah tiga tahun lepas, itu merupakan kali pertama beliau menyaksikan serangan musuh ke atas Lahad Datu. Sebelum ini, beliau pernah bertugas dalam Pasukan Gerak Am (PGA).

"Ini bukan suatu perancangan sebagaimana yang pernah didakwa sesetengah pihak kerana ia benar-benar melibatkan kematian lapan anggota, kerana saya sendiri yang menguruskan jenazah anggota pasukan keselamatan dari awal hingga penghantaran pulang ke kampung masing-masing,” katanya.

Menurutnya, beliau tampil di pentas forum ini bagi membantu kerajaan dalam usaha memperbetul fakta sebenar berikutan tanggapan negatif sesetengah pihak berhubung isu berkenaan.

No comments:

Post a Comment