Tuesday, April 30, 2013

Pendidikan Tertiari Percuma Telan Belanja RM12 Bilion

Manifesto pakatan pembangkang untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memberi pendidikan tertiari percuma, akan menelan perbelanjaan sebanyak RM12 bilion setahun.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata jumlah terbabit jauh lebih tinggi berbanding anggaran asal pembangkang sebanyak RM6 bilion setahun.

“Ini isu besar sebenarnya dari segi kesan terhadap ekonomi dan kewangan negara.

“Dalam soal janji pakatan untuk menghapuskan PTPTN dan digantikan dengan tabung pinjaman baru, perdebatan mengenai perkara ini tidak diambil secara serius.

 “Tabung pinjaman baru itu kononnya akan memperuntukkan dana RM450 juta dengan menganggarkan hanya ada 150,000 pelajar di institusi pengajian tinggi swasta.

Pengiraan ini salah kerana jumlah di IPTA dan IPTS hampir sama, iaitu masing-masing ada hampir 500,000 pelajar.

“Mereka (pembangkang) hanya mengira 150,000 pelajar dan sekiranya peruntukan RM450 juta dibahagikan dengan bilangan itu, maka setiap pelajar akan mendapat RM3,000 setahun untuk membiayai pengajian mereka. RM3,000 sebenarnya tidak cukup untuk seorang pelajar di IPTS kerana yuran saja RM12,000, belum lagi kos sara hidup.

“Maka kalau RM450 juta dibahagikan dengan 450,000 bilangan pelajar sebenar di IPTS, jumlah peruntukan setiap mereka akan dapat lagi kecil daripada itu dan mereka tidak akan mampu membayar yuran serta menampung kos sara hidup.

“Ini yang ada kala pelajar universiti tidak nampak. Mereka ingat hapus PTPTN, mereka selamat tetapi mereka lupa bagaimana dengar pelajar IPTS dan bantuan kos sara hidup sekarang yang diberikan oleh PTPTN,” katanya pada sesi pertama Wacana PRU-13: Putrajaya Milik Siapa? Antara Dasar, Isu dan Calon  semalam.

Mohamed Mustafa berkata, tindakan memberikan pendidikan percuma sepenuhnya itu juga bertentangan dengan matlamat pemberian biasiswa sebagai insentif kepada pelajar cemerlang, sekali gus boleh ‘membunuh’ semangat golongan itu untuk mencapai keputusan terbaik.

“Ini akan mengakibatkan mereka menjadi orang tidak bertanggungjawab. Ini bukan dasar yang difikirkan dengan baik, sebaliknya ia akan menjahanamkan pendidikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment