Sunday, April 14, 2013

Lion XII FC Kuasai Persada Liga Supere

Pemain ATM, Amirizwan Taj (tengah) mengekang kemaraan pemain Kelantan, Indra Putra Mahyuddin dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mohammad IV Kota Bharu, malam tadi. 
Pasukan Lions XII FC dari Singapura terus mengekalkan penguasaan mereka di persada Liga Super walaupun hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Sabtu malam.

Keputusan tersebut membolehkan mereka mengumpul 24 mata selepas mengharungi 12 perlawanan liga. Pemain import baharu dari Brazil, Leandro Barbosa Fabio menceriakan penyokong Hoben Jang Hoben dengan gol pendahuluan pada minit ke-15 sebelum Fazrul Nawaz menyamakan kedudukan untuk pasukan Lions XII pada minit ke-20.

Nasib malang menimpa Negeri Sembilan selepas pemain mereka, Abdul Ghani Abdul Rahman dibuang padang oleh pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin pada minit ke-71 kerana melakukan kekasaran ke atas Nazrul Nazari

Selangor pula kembali merampas kedudukan kedua liga daripada Johor Darul Takzim (JDT) FC selepas berjaya mengalahkan Felda United FC, 2-0 di Stadium Shah Alam. Dua gol skuad Gergasi Merah hasil jaringan K. Gurusamy pada minit ke-50 dan Francis Forkey Doe (minit ke-81) membolehkan berkongsi 22 mata dengan JDT FC, namun berada di kedudukan kedua liga berdasarkan perbezaan jaringan.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Kelantan menerima tamparan hebat selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kapten pasukan pelawat, Hairuddin Omar membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 selepas rembatan kencangnya terkena pertahanan Kelantan, Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim sebelum membias masuk untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Kelantan.

Christe Jayaselan menambah derita pasukan bimbingan Bojan Hodak dengan gol kedua pada minit ke-21 selepas beliau memanfaatkan hantaran lintang sebelah kiri daripada Marlon Alex James.

Mohd Faiz Subri bagaimanapun mengurangkan defisit jaringan menerusi gol pada minit ke-39 sebelum Marlon memastikan tiga mata penuh dengan gol kemenangan pada minit ke-64.

Pahang turut mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan wakil kelab Terengganu, T-Team dengan keputusan 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dua gol skuad Tok Gajah disumbangkan oleh K. Gopinathan pada minit ke-51 dan Mohd Razman Roslan, sembilan minit kemudian sebelum pasukan pelawat merapatkan jurang jaringan menerusi gol Azrul Hazran Amiluddin Baki pada minit ke-82.

No comments:

Post a Comment