Tuesday, April 16, 2013
Perpustakaan Awam Terengganu Mengadakan Kempen Pengecualian Denda
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mengadakan Kempen Pengecualian Denda bagi buku-buku yang dipinjam melebihi tempoh pinjaman bermula hari ini hingga 15 Mei di semua perpustakaan bawah seliaan perbadanannya.
Pengarahnya, Nor Akmal Abdul Fatah berkata tempoh pengecualian denda selama sebulan ini adalah sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.
"Pengecualian denda ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada peminjam buku supaya menghantar kembali buku-buku yang dipinjam tanpa dikenakan sebarang denda walaupun tarikh pemulangannya telah lama habis tempoh.
"Secara kumulatifnya, di semua perpustakaan bawah seliaan kami, terdapat 7,000 naskah buku belum dipulangkan oleh peminjam dan saya sangat berharap agar mereka dapat memulangkan buku berkenaan agar pengguna lain juga dapat menggunakan buku tersebut," katanya.
PPAT juga akan mengadakan sambutan Hari Buku dan Hak cipta Sedunia ini bertempat di semua perpustakaan negeri dan daerah pada 27 April ini, katanya.
"Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sempena sambutan itu termasuklah kuiz spontan serta pertandingan 'jigsaw puzzle' (susun suai gambar) dan orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment