Tuesday, April 16, 2013

Cawangan Kedua Klinik 1Malaysia Di Besut


Sebuah lagi Klinik 1Malaysia dibuka di Besut selepas yang pertama di Kampung Nyior Tujuh, Jertih.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtarr berkata, Klinik 1Malaysia Kuala Besut adalah yang terbaru diluluskan kerajaan bagi menyediakan kemudahan kepada masyarakat.

Menurutnya, klinik yang beroperasi setiap hari termasuk hujung minggu bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dibina di kawasan padat penduduk bagi memberi rawatan ringan kepada pesakit seperti demam, batuk dan masalah kesihatan lain.

“Klinik seumpama ini yang pertama di Kampung Nyior Tujuh beroperasi tahun lepas dan dirasmikan pada Oktober lalu,” katanya yang juga penyandang Adun Kuala Besut.

A Rahman berkata, Kerajaan Negeri selama ini berusaha bersungguh-sungguh menyediakan pelbagai kemudahan rawatan kesihatan kepada penduduk daerah dan negeri ini.

Menurutnya, sebuah lagi pusat kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Padang Luas yang beroperasi di Kampung Padang Luas sudah mula beroperasi sejak Khamis minggu lalu.

“Klinik kesihatan baru ini turut menyediakan kemudahan klinik pergigian pada peringkat awal ini, mempunyai empat pegawai perubatan dan lapan pembantu perubatan.

“Berbeza dengan Klinik 1Malaysia, Klinik Kesihatan Padang Luas menerima kes kecemasan dan pemeriksaan kesihatan biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment