Monday, April 15, 2013

PKR Pujuk Bekas Ahli Parlimen, ADUN Bukti Pembangkang Terdesak

 

Tindakan pimpinan sebuah parti pembangkang yang didakwa cuba memujuk beberapa bekas anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyertai semula parti itu, jelas menampakkan ia sangat terdesak untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Usaha itu juga, menurut pemerhati, menunjukkan parti berkenaan kehilangan ramai calon berwibawa dan golongan profesional yang boleh menggalas tugas sebagai ahli Parlimen atau ADUN yang mampu mendapat sokongan rakyat.


Bekas pengasas sebuah parti, Ng Lum Yong, berkata dakwaan itu tidak mengejutkannya kerana beliau juga sering didatangi beberapa individu yang cuba memujuknya berjumpa pemimpin pembangkang selepas keluar parti pada 2010.

Bagaimanapun, pujukan itu tidak diendahkannya atas alasan tidak berminat.

 "Dulu, bila anggota Parlimen atau ADUN keluar parti, orang akan kata kononnya ada imbuhan. Tetapi sekarang mengapa mereka (pembangkang) sibuk-sibuk mahu pujuk semula?" katanya.

Beliau mengulas dakwaan penyandang kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pada Jumaat mengenai usaha memujuk 11 bekas ahli Parlimen dan ADUN sebuah parti pembangkang untuk menyertai semula parti itu sebelum penamaan calon 20 April ini.

Yakin tidak ada seorangpun akan menyertai semula parti itu kerana sedar perjuangannya tidak lebih daripada perjuangan peribadi pemimpinnya, Ng berkata: "Saya akan ke Selangor esok untuk berkempen dan bersedia untuk ke seluruh negara jika ada permintaan kerana saya tahu peribadi sebenar pemimpinnya."

 Penyandang kerusi Parlimen Bayan, Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula, berkata meskipun tiada tawaran sebegitu diterimanya, beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku.

"Mereka tahu lebih baik untuk tidak membuat tawaran kerana tidak mungkin saya kembali. Itu prinsip saya dan saya orang berpendirian.

"Saya tinggalkan parti kerana hilang kepercayaan pada pemimpinnya, bukan kerana ditawarkan imbuhan," katanya sambil berkata beliau akan turun padang bagi memastikan kemenangan BN.

Dalam pada itu, bekas anggota Parlimen Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin berkata pihak berkenaan harus sedar usaha itu hanya sia-sia kerana tidak mungkin pihak yang dipujuk itu akan membuat pusingan U.

"Ramai yang hilang kepercayaan pada parti itu kerana ia secara terang-terangan tidak mempunyai pendirian kukuh dalam isu contohnya berkaitan akidah, agama, perjuangan bangsa Melayu dan juga kedudukan raja-raja Melayu. "Ini berbeza dengan UMNO," kata Mohammad Fairus, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Beliau juga yakin BN akan menang pada PRU13 kerana rakyat dapat menilai hasil kerja yang dijalankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk dalam soal memakmurkan agama Islam tanpa meminggirkan agama lain.

No comments:

Post a Comment