Tuesday, April 23, 2013

PKR Umum Tiga Calon Tarik Diri

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tiga calon PKR di Terengganu menarik diri daripada bertanding di kawasan masing-masing pada pilihan raya ini hanya 48 jam selepas penamaan calon.

Tiga kawasan itu ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Kota Putera dan Bukit Besi yang sebelum ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Pas dan PKR.

 Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail memberitahu, tindakan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan serta nasihat daripada PKR Pusat kelmarin atas dasar kesepakatan serta menjaga hubungan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Keputusan tawaran menarik diri itu bukan berdasarkan kepada potensi kemenangan atau kekalahan. Ia untuk menyelamatkan imej pakatan rakyat.

"Sebab kalau bertembung bermakna dua-dua tidak mahu mengalah. Jadi kita buat keputusan bagi menyelamatkan PR kita, kita mengalah," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan mereka yang menarik diri selepas hari penamaan calon masih dianggap bertanding dan nama calon tetap dicetak pada kertas undi. Undi yang diterima tetap dikira.

No comments:

Post a Comment