Thursday, April 18, 2013

Polis Beri Amaran Kepada Kumpulan Mahu Jelajah Kampung Bawa Dakwat


Polis memberi amaran kepada beberapa kumpulan yang dipercayai bercadang menjelajah pelusuk negara ini untuk mencalit dakwat kekal kepada pengundi bagi mewujudkan keadaan tegang semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata walaupun kes seumpama itu belum dilaporkan berlaku namun perbuatan itu adalah sesuatu yang serius dan boleh mendatangkan kekecohan pada hari mengundi.

"Kita ada terima laporan daripada pihak tertentu mengenai perkara itu dan telah mengenal pasti kumpulan itu, saya minta kumpulan itu supaya jangan melakukan perkara yang boleh mencetuskan huru hara," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat kawalan PRU13 Ibu Pejabat Kontinjen Perlis di Kangar, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang juga Pegawai Pemantau Penugasan PRU13 bagi negeri Kedah dan Perlis serta Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.

Beliau juga menasihati pengundi supaya jangan mempercayai dan membenarkan mana-mana individu yang ingin mencalit dakwat kekal kerana dakwat itu hanya akan dicalit pada hari mengundi sahaja.

Sementara itu Khalid berkata polis Perlis telah mengenal pasti 24 kawasan panas sekitar negeri ini antaranya Beseri, Padang Besar dan Arau.


No comments:

Post a Comment