Thursday, April 18, 2013

Ahmad Said Pertahan Kerusi DUN KIjal, 18 Muka Baru Di Parlimen & DUN


Datuk Wan Ahmad Nizam
Pengerusi Barisan Nasional Terengganu Datuk Seri Ahmad Said akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

BN Terengganu turut menampilkan tiga calon muka baharu bagi kerusi Parlimen dan 12 muka baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Ahmad Said berkata senarai calon BN negeri bagi lapan kerusi Parlimen dan 32 DUN itu merupakan gandingan mula lama dan baharu bagi memastikan parti itu mendapat tempat di hati rakyat untuk terus memberikan mandat kepada BN negeri.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan watikah calon di Kuala Terengganu petang kelmarin, beliau berkata calon yang dikemukakan kali ini ada muka baharu serta ada juga yang pernah kalah (PRU sebelumnya) tetapi bertanding kembali serta bertukar kerusi yang dibuat berasaskan kepada strategi parti.

"Saya harap calon yang tidak disenaraikan menerima dengan hati terbuka dan sedar tempat adalah terhad," katanya.

Tiga exco negeri yang tidak disenaraikan kali ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohammad Awang Tera (DUN Cukai), Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan, Khazan Che Mat (DUN Batu Rakit) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Asha'ari Idris (DUN Langkap).

Beliau berkata tiga muka baharu bagi kerusi Parlimen ialah Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Setiu), Mohd Zubir Embong (Kuala Terengganu) dan Datuk Jailani Johari (Hulu Terenggganu).

Bagi DUN pula, 12 calon muka baharu ialah Mohd Mahadi Musa (Kota Putera), Mohd Iskandar Jaafar (Jabi), Saberi Mohd Nor (Langkap), Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit), Ismail Nik (Bukit Tunggal), Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf Mempelam), Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang), Abdul Latif Awang (Pengkalan Berangan), Yusof Awang Hitam (Manir), Ghazali Taib (Ajil), Roslee Daud (Bukit Besi) dan Zakariah Ali (Sura).

Seorang calon yang ditampilkan semula ialah Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Dr Rosli Mat Hassan bagi kerusi Parlimen Dungun.

Empat calon DUN yang ditampilkan semula ialah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh (DUN Batu Buruk) dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (DUN Cukai), bekas Speaker DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang (DUN Kuala Berang) dan Zaidi Muda (DUN Bukit Payung).

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad pula dicalonkan bagi kerusi Parlimen Marang dan akan menentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam perkembangan sama, pencalonan kali ini turut menyaksikan kejutan dan perubahan terbesar di Setiu di mana menampilkan perubahan calon bagi DUN serta pertukaran calon bagi kerusi Parlimen yang sebelum ini disandang Mohd Jidin Shafiee yang berpindah untuk bertanding di DUN Permaisuri.

Mengulas mengenai perubahan di Setiu, beliau berkata, perpaduan memainkan peranan yang penting bagi memastikan kemenangan BN.

No comments:

Post a Comment