Saturday, April 13, 2013

Polis Siasat Cakera Padat Lucah Kaitkan Pemimpin Politik


Polis dijangka bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan cakera video digital (DVD) dan gambar lucah yang dikaitkan dengan pemimpin politik di Terengganu kerana bahan itu turut dipaparkan di laman sosial.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata sampul surat mengandungi DVD dan gambar lucah yang diletakkan di hadapan beberapa buah rumah di Kampung Alor Lintang di Terengganu telah diteliti dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

"Kita terima laporan daripada orang awam yang menemui sampul surat di hadapan rumah mereka sebelum memeriksa isi kandungannya dan mendapati terdapat sekeping DVD serta sekeping gambar lucah yang diletakkan di hadapan pagar rumah mereka.

"DVD dan gambar lucah yang diambil daripada visual dalam cakera padat berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Terengganu untuk siasatan lanjut," katanya pada taklimat pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata siasatan akan dijalankan dengan melihat pelbagai aspek termasuk pihak yang mengedar serta melihat sama ada pelaku dalam video berkenaan membabitkan ahli politik.

"Mereka yang didapati mengedarkan video lucah berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau penjara atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak khususnya ahli politik yang ada menerima ugutan atau ancaman jenayah agar melaporkan kepada polis bagi tujuan siasatan.

Ramli juga meminta orang awam berwaspada terhadap mana-mana pihak yang cuba menyamar, seperti mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kad pengenalan menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Sebagai contoh adakan sekatan jalan raya, periksa kad pengenalan, memakai pakaian seragam tertentu dan sebagainya seperti yang diingatkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment