Tuesday, April 9, 2013

Pondok Polis Lama Diganti Baru Di Padang Kubu

Pondok Polis Padang Kubu yang baru terletak di lot kedai baru, berdekatan Masjid Padang Kubu.
Polis Terengganu menerima Pondok Polis Padang Kubu yang baru sumbangan kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah Kemaman bagi menggantikan pondok polis lama yang usang dan kedudukannya jauh dalam ladang sawit.

Pondok polis itu terletak di bangunan lot kedai baru di tepi jalan utama Jerangau-Jabor dan berdekatan Masjid Padang Kubu.

 Ahmad Said, Jamshah dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamed Kamil Othman memotong reben sebagai simbolik penyerahan bangunan Pondok Polis Padang Kubu yang baru, semalam.
 
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, kedudukan pondok polis itu sangat strategik kerana sepanjang laluan Jerangau-Jabor masih tidak terdapat pondok polis, tambahan lagi laluan berkenaan sunyi.

“Dengan pondok polis baru ini juga, lebih mudah kita mendekati masyarakat kerana di belakang pondok polis terdapat kawasan perumahan yang akan diserahkan kepada rakyat tidak lama lagi.

“Petugas di pondok polis ini setakat ini seramai dua orang dan akan ditambah lagi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan pondok polis itu kepada Polis Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara merangkap Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Senator Rohani Abdullah, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamed Kamil Othman dan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam.

Menurut Jamshah, pemilihan bangunan baru itu amat tepat bukan sahaja untuk keselesaan anggota polis tetapi juga untuk orang ramai datang berurusan yang mana pondok polis tersebut memberi perkhidmatan kepada seramai 4,459 penduduk di Padang Kubu, Sungai Mas dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Jamshah berkata, di Terengganu terdapat sebuah lagi pondok polis yang uzur iaitu Pondok Polis Binjai dan pihaknya dalam proses untuk menaik taraf pondok terbabit yang mana lokasinya telah dikenal pasti.

Istimewanya, pada majlis itu, Ahmad juga mengumumkan kadar sewa bangunan itu yang ditetapkan pada harga RM400 sebulan berbanding kadar sewa sebenar berjumlah RM1,500 dikurangkan lagi menjadi hanya RM100 sebulan.

Paling bermakna, Ahmad turut mengumumkan pemberian sumbangan sebuah Proton Preve kepada pondok polis itu untuk memberi kemudahan kepada anggota bertugas.

SH Online

No comments:

Post a Comment