Tuesday, April 9, 2013

Pesara Tentera Sertai Pembangkang Orang Tiada Integriti

Perdana Menteri bersalaman dengan pesara-pesara kerajaan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
Pegawai tentera yang bersara dalam perkhidmatan itu dan kini menyertai pakatan pembangkang boleh disifatkan sebagai individu yang kehilangan nilai integriti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, maruah dan harga diri adalah satu perkara penting yang tidak boleh dibeli biarpun ada orang menabur bermacam janji.

"Sebab itu dalam perjuangan, kita mesti ada nilai prinsip, maruah diri mesti kita jaga. Kita ada prinsip kemanusiaan dan sebagai manusia biar kita hilang segala-galanya asalkan kita ada prinsip kesetiaan. "Biarlah dua tiga (orang) tersasar nak jadi calon pembangkang, lebih ramai lagi ada pada kita.

Yang jadi calon sebelah sana, saya kenal siapa dia, saya kenal latar belakang dia, saya tahu kenapa, sebenarnya mereka itu bermasalah. Semua dalam Mindef (Kementerian Pertahanan) tahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 3,000 pesara kerajaan pada Majlis Perdana Menteri Bersama Pesara Kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya semalam.

Najib berkata, beliau amat menghormati golongan pesara yang masih setia dengan kerajaan walaupun mereka sudah tidak lagi berkhidmat.

"Saya menghormati saudara-saudari sekalian, kerana mempunyai maruah diri. Kesetiaan dahulu tidak diketepikan, sementara pada zaman persaraan tidak lupa untuk menyokong kerajaan yang ada. "Sebab itulah saya tidak lupakan jasa tuan-tuan sekalian," ujarnya.

 Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan tidak pernah melupakan golongan pesara kerajaan yang pernah menyumbangkan bakti kepada negara.

Katanya, kadar kenaikan minimum pencen pesara sebanyak dua peratus yang diberikan kepada golongan pesara pada masa ini boleh ditambah lagi dan ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Sementara itu, Najib mengumumkan kira-kira 700,000 golongan pesara kerajaan di negara ini bakal menikmati potongan harga di pelbagai syarikat terpilih.

 Beliau berkata, kad diskaun 1Malaysia Privilege yang sebelum ini diberikan kepada anggota tentera dan polis akan dipanjangkan kepada para pesara kerajaan bagi menghargai sumbangan mereka.

"Kad diskaun kepada pesara kerajaan boleh digunakan di Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Kedai Kain 1Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment