Najib bersalaman dengan pencabarnya dariu PKR, Fariz Musa di Pekan, semalam. |
Ketika rakan sejawatannya dalam Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang ditakdirkan tidak perlu berdepan dengan ramai pencabar, Palanivel terpaksa bertarung dengan empat pesaing untuk merebut kerusi parlimen Cameron Highlands.
Beliau akan ditentang calon DAP M.Manogaran, Mohd Shokri Mahmood (Berjasa) serta dua calon Bebas N.P. Kisho Kumar dan T. Alagu.
Ini berbeza dengan Presiden Umno dan penyandang kerusi parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang hanya terlibat dengan pertandingan satu lawan satu. Beliau akan ditentang oleh calon PKR Fariz Musa.
Najib, yang juga perdana menteri, menjadi anggota parlimen Pekan sejak 1976. Di selatan pula, Timbalan Perdana Menteri, yang juga naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mempertahankan kerusi parlimen Pagoh dengan menentang calon PAS Mohd Rozali Jamil.
Bagaimanapun, perhatian ramai sudah pasti bertumpu pada kerusi parlimen Gelang Patah di Johor, yang bakal menyaksikan pertarungan hebat satu lawan satu yang melibatkan dua tokoh politik terkenal.
Pertandingan yang disifatkan banyak pihak sebagai 'ibu segala pertarungan' ini adalah antara Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman daripada BN dan veteran DAP Lim Kit Siang.
Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada PAS akan ditentang calon BN Wan Razman Wan Abdul Razak bagi kerusi DUN Chempaka.
Mursyidul Am PAS berusia dalam lingkungan 80 tahun ini, yang keadaan kesihatannya kebelakangan ini mengundang kebimbangan anggota dan penyokong parti itu, cuba mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal ketujuh.
Satu lagi kerusi yang dijangka menyaksikan pertarungan menarik ialah parlimen Pasir Mas kerana ia melibatkan anak Nik Aziz iaitu Nik Abduh, yang mencabar penyandang kerusi itu Datuk Ibrahim Ali.
Presiden Perkasa ini bertanding sebagai calon Bebas.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga hanya terlibat dengan pertandingan satu lawan satu apabila beliau bakal ditentang calon BN Datuk Yahya Khatib Mohamad bagi kerusi parlimen Marang di Terengganu.
Di Pulau Pinang, pengerusi DAP Karpal Singh akan cuba menangkis cabaran calon BN Teh Beng Yeam bagi menguasai kerusi parlimen Bukit Gelugor.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula terlibat dengan pertandingan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi parlimen Bagan.
Sementara itu, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadapi tentangan sengit daripada calon BN Dr Mazlan Ismail dan calon Bebas Dr Abdullah Zawawi Samsudin bagi kerusi parlimen Permatang Pauh.
Di Keningau, presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin, yang mewakili BN, akan berdepan dengan adiknya, pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan calon PKR Stephen Sandor.
Di Saratok, presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom akan mewakili BN untuk mengetepikan dua pencabarnya iaitu calon PKR Ali Biju dan calon Bebas Datuk Abang Rosli Abang Paleng.
No comments:
Post a Comment