Saturday, April 20, 2013

PRU13 - Semua Calon Sudah Sedia Di Garisan Permulaan, Banyak Pertembungan Pelbagai Penjuru

Najib (dua dari kanan) mengaminkan bacaan doa selepas solat hajat di Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan malam tadi.
Semua parti politik sudah bersedia di garisan permulaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan tekanan semakin dirasai memandangkan tarikh pengundian, 5 Mei ini, semakin hampir.

Tindakan melobi keterlaluan menyaksikan pertukaran senarai calon di saat akhir bukan sahaja oleh Barisan Nasional (BN) tetapi juga kem pembangkang yang telah menimbulkan ketegangan, terutama antara DAP dan PKR.

Calon yang bertanding atas tiket Bebas mungkin bilangannya lebih ramai kali ini selepas nama mereka tidak disenaraikan dan PRU13 bakal menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah meminta semua pihak bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan aman bagi 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, akan mengetuai perarakan ke pusat enamaan calon bagi Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu itu akan menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada PRU13 di mana beliau merupakan penyandang kerusi tersebut.

BN mengekalkan penyandang kerusi DUN Kemasik (Ir Rosli Othman) dan Air Puteh (Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar) untuk bertanding di kerusi tersebut manakala Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dicalonkan di DUN Cukai.


Menteri Belia dan Sukan, Datuk  Seri Ahmad Shabery Cheek dinamakan sebagai calon Parlimen Kemaman (penyandang kerusi berkenaan).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka lapan Pusat Penamaan Calon di Terengganu pada hari penamaan calon pilihan raya ini.

Pusat berkenaan ialah Pejabat Daerah Besut bagi Parlimen Besut; Pejabat Daerah Setiu (Setiu); Majlis Sukan Negeri Terengganu (Kuala Nerus); Pejabat Daerah Marang (Marang) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu (Hulu Terengganu).

Pusat lain ialah Pejabat Daerah Dungun bagi Parlimen Dungun, Stadium Negeri Kuala Terengganu (Kuala Terengganu) dan Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (Kemaman).
Menjelang penamaan calon, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai BN pada pilihan raya untuk pertama kali sebagai Perdana Menteri dengan manifesto 'Rakyat Didahulukan' kembali ke kawasan Parlimen Pekan dan menyertai penduduk tempatan untuk menunaikan solat Maghrib dan hajat di Masjid Sultan Abu Bakar.


Beliau akan menyerahkan kertas pencalonan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah Sabtu pagi. Najib berharap mendapat mandat yang besar daripada rakyat untuk meneruskan agenda transformasi kerajaan untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia yang beliau mulakan empat tahun lepas selepas mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagaimana sebelum ini, BN menampilkan calon bagi semua kerusi yang dipertaruhkan. Pada PRU 2008, BN memperoleh tujuh kerusi Parlimen dan dua DUN tanpa bertanding pada hari penamaan calon manakala pembangkang PAS mendapat satu kerusi DUN.


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berada di Johor menyeru penyandang yang tidak disenaraikan supaya menghormati keputusan kepimpinan BN.

"Kita telah memutuskan calon. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah merapatkan barisan dan membantu calon untuk menang," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah Sungai Terap, di Muar.

Muhyiddin mengingatkan parti pembangkang agar tidak memutar belit fakta dan mengaitkan Umno dengan sebarang keputusan yang dibuat Pendaftaran Pertubuhan (ROS), yang merujuk kepada siasatan dakwaan penyelewengan ketika pemilihan parti berikutan aduan daripada beberapa anggota DAP.

ROS menyatakan pendaftaran DAP tidak terbatal dan parti itu masih boleh menggunakan simbolnya pada PRU13


Berlaku kekeliruan berhubung logo yang akan digunakan DAP selepas pengerusinya Karpal Singh berkata parti itu akan bertanding di bawah logo PAS di Semenanjung Malaysia dan menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dan Sarawak.


Penasihat parti itu, Lim Kit Siang berkata di Johor, bahawa parti itu mungkin akan menggunakan pendekatan itu manakala setiausaha agung parti Lim Guan Eng memberitahu media di Pulau Pinang bahawa calon mereka akan membawa dua surat watikah, satu daripada DAP dan satu lagi daripada parti alternatif untuk penamaan calon.

DAP yang akan bertanding di 53 kerusi Parlimen dan 103 kerusi DUN, terus berdepan dengan tentangan di Kedah berhubung pilihan calonnya bagi DUN Derga dan Kota Darul Aman.

Di IPOH, kira-kira 60 penyokong DAP mengadakan bantahan di depan Pejabat DAP negeri ekoran tidak berpuas hati apabila penyandang kerusi DUN Jalong Leong Mee Meng digugurkan daripada senarai calon parti.

Dalam apa yang dilihat sebagai serangan terlebih dahulu, PKR mewajibkan calonnya membayar ganti rugi RM5 juta kepada parti itu jika mereka belot selepas menerima watikah calon untuk bertanding sama ada bagi kerusi DUN atau Parlimen, kata Timbalan Setiausaha Agung PKR Steven Choong.

Di JOHOR, yang bakal menyaksikan pertandingan sengit antara Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan Kit Siang bagi kerusi Parlimen Gelang Patah akan mengesahkan pertandingan mereka di Dewan Serbaguna Skudai, iaitu venue yang sama bagi keputusan siapakah pemenangnya.

Di KEDAH, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, yang bertanding di kerusi DUN untuk pertama kalinya, akan ke Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu untuk mengesahkan pencalonan beliau bagi kerusi Ayer Hitam di bawah kawasan Parlimen Jerlun yang beliau menangi semasa penyertaan sulung beliau pada pilihan raya 2008.

Tumpuan terhadap Mukhriz, yang juga satu-satunya anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengikut jejak langkah beliau dalam arena politik dan beliau dilihat sebagai bakal menteri besar Kedah setelah BN berusaha mendapat kembali negeri itu yang jatuh ke tangan pembangkang buat pertama kalinya pada 2008.

Di KELANTAN, Datuk Seri Mustapa Mohamed, seorang daripada dua calon BN yang akan bertanding untuk dua kerusi pada pilihan raya ini, akan menyerahkan borang pencalonan beliau di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli bagi mempertahankan kerusi Parlimen Jeli dan beliau kembali bertanding DUN Air Lanas yang dimenanginya sebelum ini pada 2004.


Veteran Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah, yang dinamakan calon untuk mempertahankan kubu kuatnya Gua Musang, telah menolak spekulasi bahawa beliau akan keluar Umno dan menyertai pembangkang pada PRU.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai PAS dan akan tetap bersama Umno dan BN sepanjang masa kerana parti itu sudah sebati dalam hidup saya," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Wangi di Gua Musang.

Sumber - Bernama & Tenganukita

No comments:

Post a Comment