Tuesday, April 30, 2013

PRU13 Tidak Jejaskan Program TMT 2013


Walaupun bahang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kini hampir kekemuncaknya, ia tidak merencatkan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Malah pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu 3 April lepas tidak menjejaskan 34 acara yang telah dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri sempena TMT 2013.

Ketua Sekretariat TMT Ahmad Fathil Abg Ghani berkata jumlah pelancong yang bertandang ke negeri ini masih menggalakkan dan pelawat masih mengunjungi tempat tumpuan utama pelancong seperti pulau, Tasik Kenyir dan bandar raya Kuala Terengganu sendiri.

Katanya kesemua program dan aktiviti yang dirancang, berjalan seperti biasa, sama ada pilihan raya atau tidak, dengan sedikit pindaan disebabkan ada tarikh aktiviti yang sama dengan hari pengundian Ahad ini.

"Walaupun terpaksa membuat pindaan pada tarikh itu, namun aktiviti TMT tetap diteruskan seperti yang dirancang dan perjalanan TMT 2013 tidak terjejas walaupun kini dalam persediaan untuk menghadapi PRU13.

"Kita tetap meneruskan acara seperti Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan baru-baru ini yang disertai 13 pasukan dari seluruh negara," katanya di Kuala Terengganu.

Menurutnya ini disebabkan proses pilihan raya umum ini tidak mengganggu tugas jabatan kerajaan, terutama promosi pelancongan, yang diteruskan dan dipergiatkan di dalam dan luar negeri bagi menarik pelancong Ahmad Fathil juga percaya pilihan raya kali ini akan menjadi daya tarikan baharu kepada pelancong dari luar negara.

Menurutnya kerajaan negeri Terengganu yang menyasarkan empat juta pelancong berkunjung sempena TMT 2013, yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan promosi rancak yang dilakukan oleh penggiat industri pelancongan negeri.

No comments:

Post a Comment