Monday, April 15, 2013

Shahril - Pembangkang Hadapi 'Tsunami' Pertikaian Sesama Sendiri


Parti pembangkang di Johor kini berhadapan dengan 'tsunami' pertelingkahan sesama sendiri yang berpunca daripada keghairahan mengetengahkan calon 'payung terjun' pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata Tan Sri Shahrir Samad.

Penyandang kerusi Parlimen Johor Baharu itu memberi contoh keputusan pakatan pembangkang memilih veteran DAP Lim Kit Siang sebagai calon payung terjun di kawasan Parlimen Gelang Patah yang dipertikaikan oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor.

"Dalam usaha pembangkang hendak mencipta tsunami politik di Johor, mereka pula berhadapan dengan tsunami pertikaian dan perbalahan sesama sendiri akibat tindakan memilih calon payung terjun di beberapa kawasan," katanya pada sidang media di pejabat Umno Johor Baharu semalam.

Katanya tsunami yang kini melanda parti pembangkang di Johor ketika ini bakal memusnahkan peluang mereka untuk menawan Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Langkah pakatan pembangkang mengetengahkan Lim sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Gelang Patah menyebabkan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng 'merajuk' dan mengambil cuti panjang selama dua minggu.

Menurut Shahrir, Chua telah bekerja keras di kawasan Parlimen Gelang Patah sebelum kerusi itu 'dirampas' oleh DAP yang meletakkan penasihatnya sebagai calon bagi memulakan tsunami politik di Johor.

Selain di Gelang Patah, beliau turut memberi contoh bagaimana PKR mengetepikan Ketua Cabang PKR Johor Baharu Tan Poh Lai, dan memilih Jeneral (B) Tan Sri Hashim Hussein sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Johor Baharu.

"Saya kesian dengan dia (Tan Poh Lai). PKR tidak mengambil kira segala kerja keras yang telah dilaksanakan oleh beliau di Johor Baharu selama ini, dengan memilih orang luar sebagai calon mereka," katanya.

Tan merupakan seorang peguam yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Peguam Negara dan disebut-sebut sebagai calon pilihan pakatan pembangkang bagi Parlimen Johor Baharu, sebelum beliau diketepikan oleh pucuk pimpinan pembangkang yang memilih Hashim.

Cara yang dipraktikkan oleh parti pembangkang itu kata Shahrir, adalah amat berlainan dengan BN yang mementingkan anak tempatan dan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh mereka terhadap rakyat.

Ditanya mengenai Hashim, bekas Panglima Tentera Darat yang menjadi taruhan pembangkang, Shahrir berkata beliau tidak mengenali calon pembangkang itu dan menyerahkan kepada pengundi Johor Baharu untuk memilih wakil rakyat mereka.

No comments:

Post a Comment