Wednesday, April 3, 2013

Walaupun Aktif Bersukan, Athirah Mampu Muncul Pelajar Terbaik PSMZA

Keazaman yang kuat serta ketahanan mental yang tinggi adalah antara kunci kejayaan Athirah Hamzah, yang muncul pelajar terbaik Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun tahun ini.

 Pelajar Diploma Kejuruteraan Awam itu yang aktif dalam sukan menembak berkata walaupun sibuk dengan aktiviti bersukan, namun beliau turut berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

"Memang saya banyak ketinggalan semasa belajar kerana terlibat dalam sukan menembak, namun saya tekadkan semangat dengan menggandakan tumpuan terhadap pelajaran dan saya gandakan belajar mana-mana mata pelajaran yang tertinggal.

 "Saya kena pandai membahagikan masa antara sukan dan pelajaran, kerana pelajaran adalah matlamat utama saya manakala sukan hanyalah sebagai hobi," katanya ketika ditemui pada majlis istiadat konvokesyen PSMZA di Dungun, semalam.

Athirah, 22, yang memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata 3.58 berkata dengan keputusan itu beliau ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau yang kini bekerja sebagai penolong jurutera di AMH Reality Sdn Bhd Kuala Nerus berkata buat masa ini dia akan 'berehat' seketika dalam bidang sukan kerana ingin memberi perhatian bidang akademik.

"Saya bercita-cita menjadi jurutera dan dengan demikian saya perlu memberi perhatian terhadap pelajaran dan akan bergiat semula dalam sukan selepas saya tamat belajar nanti," katanya yang tinggal di Gong Badak, Kuala Nerus.

 Antara pencapaian Athirah dalam bidang sukan ialah Anugerah Olahragawati Politeknik Kebangsaan pada 2011, Olahragawati Harapan dan Anugerah Pasukan Terbaik (wanita) sempena Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2007.

Kehebatan beliau dalam sukan menembak membolehkan beliau mewakili negara di peringkat '1st Asian School Championships 2008' dan mewakili Terengganu dalam Sukma XII Terengganu 2008 dan Sukma XIII di Melaka 2010

No comments:

Post a Comment