Wednesday, April 3, 2013

Pihak Berkuasa Kemaman Tegas Bendung Ceroboh Tanah


Pihak berkuasa daerah ini akan membendung gejala pencerobohan tanah agar tidak terus berleluasa tanpa mengambil kira sama ada mereka merupakan penyokong kerajaan yang memerintah atau pihak pembangkang.

Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah, Mohamed Kamil Othman berkata, ini tidak harus dipolitikkan dan pihaknya tidak 'memilih bulu' dalam mengambil tindakan berdasarkan peraturan sedia ada di bawah Kanun Tanah Negara.


Katanya, penduduk menceroboh dan mengusahakan tanah kerajaan sewenang-wenangnya adalah satu kesalahan besar, apatah lagi mungkin menjelaskan segala perancangan pembangunan oleh kerajaan.

"Ini menunjukkan kita telus dalam menguatkuasakan peraturan dan tiada siapa yang merasa mereka boleh ketepikan peraturan semata-mata kerana menjadi penyokong parti untuk mencari kesempatan.

"Sedangkan masih ada golongan yang memerlukan pembelaan, jadi keadaan ini tidak harus dibiarkan dan tindakan akan dilakukan secara berperingkat," ujarnya di Kemaman, semalam.

Justeru, menurut beliau, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan mengadakan operasi pembersihan di seluruh daerah bagi menghalang mereka yang tidak bertanggungjawab daripada terus meneroka tanah haram untuk pelbagai tujuan termasuk peladangan.

Difahamkan berpuluh ribu hektar tanah di daerah ini telah diterokai secara haram termasuk oleh mereka yang dikatakan mempunyai pengaruh di kawasan setempat.

Beliau mengulas rungutan wakil penduduk Kampung Perasing Jaya, Jabor yang meneroka tanah kerajaan seluas kira-kira 24 hektar lebih dengan mengusahakan tanaman kelapa sawit.

 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perasing Jaya, Jabor, Ghazali Ismail dilaporkan berkata, penduduk mengambil keputusan mengusahakan tanah itu atas nama JKKK dengan modal permulaan sebanyak RM100,000.

Menurutnya, sebanyak 30 penduduk dilibatkan dan setiap penduduk diagihkan tanah 0.8 hektar seorang untuk diusahakan dan mereka berpakat menanam pokok kelapa sawit dengan bantuan seorang kontraktor dan hasilnya akan dipotong sebagai bayaran balik.

Ghazali mendakwa baru-baru ini mereka menerima notis daripada pejabat tanah daerah seminggu lalu supaya mengosongkan tanah itu dan pada 27 Mac kawasan itu telah disita oleh pihak berkuasa dan tanaman dimusnahkan

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment