Friday, May 10, 2013

Ahmad Said Dilantik Semula Menteri Besar Terengganu


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua. Ahmad, 56, berkata beliau telah menerima surat pelantikan itu semalam yang telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Saya telahpun menghadap tuanku sebentar tadi, saya telah menerima surat pelantikan dengan persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu presiden parti (Umno dan pengerusi BN) yang melantik saya sebagai Menteri Besar dan tuanku telah perkenankannya.


"Majlis angkat sumpah Menteri Besar akan diadakan bersama-sama pelantikan Exco dalam masa dua atau tiga hari lagi," katanya kepada pemberita di kediaman rasminya Seri Iman, di Kuala Terengganu.

Terdahulu, kenderaan rasmi Ahmad Said dilihat memasuki perkarangan Istana Badariah kira-kira 2.45 petang ini dan keluar semula 20 minit kemudian dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu kelihatan ceria sambil melambai tangan kepada pemberita yang menunggu di luar pintu utama.

Ahmad Said dilantik semula sebagai menteri besar selepas BN berjaya mengekalkan penguasaan di Terengganu apabila menang 17 daripada 32 kerusi DUN.

Ahmad Said pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Sultan Mizan Zainal Abidin pada 22 Mac 2008.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti barisan Exco baru Terengganu dan akan berjumpa dengan Najib di ibu negara malam ini untuk membincangkan perkara itu.

Pada pilihan raya umum Ahad lepas, Ahmad mengalahkan calon Pas Hazri Jusoh dengan majoriti 4,204 undi.

No comments:

Post a Comment