Friday, May 10, 2013

Sultan Ada Kuasa Tentukan Menteri Besar

Sultan Selangor (kanan) mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar baharu daripada calon-calon yang memenangi pilihan raya di Selangor. - Gambar hiasan
Sultan mempunyai kuasa budi bicara mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar di sesebuah negeri.

Pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang memberitahu, Sultan mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, Sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohamed Hassan kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu pelantikan Menteri Besar di Selangor yang tertangguh ekoran prestasi memberangsangkan parti Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Pas memenangi sebanyak 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 14 kerusi dimenangi PKR.

Walaupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR disebut-sebut akan dilantik semula sebagai Menteri Besar, namun timbul juga nama calon lain termasuk Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman.

Salleh menjelaskan, Sultan bagaimanapun tidak boleh memilih siapa yang disukai baginda untuk menjadi Menteri Besar kerana ia boleh ditafsir sebagai mencampuri urusan politik negeri.

“Kalau dalam kes Selangor, dua parti iaitu Pas dan PKR boleh mencadangkan nama calon yang sesuai dan jika ditolak, mereka mesti mencadangkan nama lain,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain juga bersetuju dengan Salleh bahawa Sultan mempunyai kuasa budi bicara untuk menerima atau menolak calon-calon yang dikemukakan kepada baginda.

Katanya, Sultan hanya boleh menerima atau menolak nama individu yang dicadangkan dan bukan nama yang ditentukan oleh baginda sendiri.

“Namun, calon yang dicadangkan itu mesti daripada parti yang menang dan dalam situasi di Selangor, misalnya, Sultan Selangor boleh menentukan sama ada calon itu pemimpin parti Pas atau PKR.

“Pemimpin daripada parti DAP pula tidak layak kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor telah menetapkan calon Menteri Besar mesti orang Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Ahmad Atory memberitahu, dalam situasi di Selangor, ketua pemimpin parti akan berbincang dengan Sultan Selangor serta mencadangkan tokoh untuk dipilih sebagai calon Menteri Besar.

“Nama yang dicadangkan biasanya lebih daripada satu dan baginda (Sultan Selangor) boleh menerima atau menolak nama yang dicadangkan,” katanya.

Antara individu yang pernah ditolak sebagai Menteri Besar oleh Sultan ialah Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu pada tahun 2008 dan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis juga pada tahun sama.

Kini tinggal Selangor  masih belum menyelesaikan pelantikan Menteri Besar.

Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan pemilihan calon Menteri Besar sudah ditetapkan.

Di Negeri Sembilan, upacara mengangkat sumpah Menteri Besar akan dijalankan serentak dengan pelantikan barisan Exco dalam masa terdekat.

Berdasarkan sistem perundangan negeri itu, parti yang memenangi pilihan raya iaitu Barisan Nasional perlu mendapatkan persetujuan nama calon Menteri Besar dan barisan Exco yang dipilih sebelum ia dikemukakan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir untuk perkenan baginda.

No comments:

Post a Comment