Tuesday, May 21, 2013

Ahmad Said - Terengganu Kaji Perubahan Portfolio Exco


Kerajaan negeri sedang membuat kajian untuk mengubah beberapa portfolio barisan Exco negeri Terengganu selaras dengan barisan Kabinet Persekutuan yang diumumkan minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, terdapat 30 kementerian dalam barisan Kabinet baharu itu dan kerajaan negeri sedang menyelaraskan portfolio ahli Exco negeri supaya selaras dengan kementerian.

"Ia juga bertujuan memudahkan lagi urusan berkaitan perkhidmatan kepada rakyat dan perubahan itu bakal menyaksikan pelaksanaan yang lebih baik dan bersistematik.


"Setiap ahli Exco negeri juga akan memegang dua atau tiga portfolio setelah perubahan diumumkan dalam tempoh terdekat ini," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Husin.

 Bagi memastikan setiap Exco mampu menjalankan tugas dengan baik, kerajaan negeri turut mengadakan kursus khas untuk memberi penerangan terperinci mengenai portfolio setiap anggota Exco.

"Kursus khas itu merangkumi pelbagai perkara termasuk pentadbiran, urusan tanah dan protokol yang perlu difahami setiap anggota Exco dan ia bergantung kepada mereka untuk memahaminya dengan tempoh masa tertentu mengikut kecekapan mereka," katanya.

Mengulas ketiadaan Exco agama, Ahmad menjelaskan ia adalah di bawah kuasa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta diletakkan di bawah portfolio tugas khas yang akan terus memastikan syiar Islam terus terpelihara di negeri itu.

No comments:

Post a Comment