Tuesday, May 21, 2013

Selepas Anwar dan Azmin, Yahya Ali Pula Sifatkan Zahid Sebagai 'Bodoh'


Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Yahaya Ali menyifatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata siapa yang tidak menerima keputusan pilihanraya umum (PRU) lalu, supaya keluar dari negara ini adalah satu kenyataan yang 'bodoh'. 

Beliau yang berucap pada ceramah kesyukuran Dun Pengkalan Berangan semalam Sabtu 18 Mei menegaskan, kenyataan Naib Presiden Umno itu menunjukkan parti Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang tidak relevan lagi untuk politik masa depan.

Katanya, keputusan PRU ke-13 juga menunjukkan Umno-BN adalah golongan minoriti walau pun dapat mengekalkan kerajaan persekutuan dengan memperolehi mjoriti mudah.

Selain itu, kerusi yang dimenangi oleh Umno-BN telah merosot paling teruk dalam sejarah apabila hanya mendapat 133 kerusi parlimen berbanding 140 kerusi yang dimenangi pada PRU-12 pada tahun 2008.

"Ini membuktikan PAS telah berjaya bersama Pakatan Rakyat mendapat kepercayaan rakyat apabila kerusi parlimen yang dimenangi meningkat sebanyak tujuh kerusi kepada 89 kerusi keseluruhannya berbanding 82 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya umum ke-12 tahun 2008,"ujarnya.

Berkaitan isu ini Penolong Setiausaha BPPNT, Hanafiah Mat mendakwa Zahid baru-baru ini sebagai rasis, keterlaluan dan tidak wajar dikeluarkan seorang pemimpin bertaraf menteri.

“Tiada klausa dalam Perlembagaan perlunya berhijrah dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, kita boleh bersuara, berpolitik dan berpersatuan,” katanya.

Dalam laporan yang turut disiarkan media arus perdana itu, Naib Presiden Umno tersebut berkata, selaku negara Komanwel, Malaysia mengguna pakai sistem pilihan raya berasas acuan British dan ia diakui pembangkang sejak pilihan raya umum pertama lagi.

 Kenyataan Zahid turut dikritik pemimpin Pakatan Rakyat dan dicemuh ramai pihak, namun Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menganggapnya sebagai pandangan peribadi.

Bagaimanapun, Hanafiah yang juga Adun Chukai menolak kenyataan Khairy, memandangkan Zahid membuat kenyataan tersebut sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Zahid sebagai Menteri kabinet.

 Hanafiah yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu, mengutuk kenyataan Zahid yang dilihat bersifat emosional, dan telah menyinggung perasaan kaum Cina.

 Beliau percaya, Zahid bertindak sedemikian ekoran rasa tidak berpuas hati dengan kemenangan BN yang tidak mencapai dua pertiga pada pilihan raya umum lalu di samping gelombang kebangkitan golongan muda dan kaum Cina beralih kepada PR.

“Kita minta beliau menarik balik dan kita sangkal kenyataan Khairy itu bersifat peribadi. Di negara ini rakyat berhak bersuara, takkanlah semua orang wajib sokong BN,” katanya.

Buletinonline

No comments:

Post a Comment