Wednesday, May 15, 2013
Anggota Polis Parah Terlibat Kemalangan Ketika Kejar Suspek
Seorang anggota polis cedera parah selepas terbabit kemalangan ketika mengejar suspek curi kenderaan, dalam kejadian di Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu awal semalam.
Dalam kejadian 4 pagi itu, Konstabel Mohd Zaim Mohd Yaakob mengalami cedera parah di kepala serta patah bahu kanan manakala pasangan rondanya Konstabel Nasrullah Salahuddin hanya cedera ringan.
Kedua-duanya bertugas di Balai Polis Wakaf Tapai, Marang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata sebelum kejadian, kedua-duanya sedang meronda di pekan Wakaf Tapai dan terserempak dengan dua suspek sedang mengumpil pintu sebuah jip.
Dua anggota polis terbabit menghampiri suspek namun mereka berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Waja menuju ke arah Kuala Berang, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.
Manoharan berkata mereka bertindak mengejar suspek namun ketika tiba di satu selekoh di kampung yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Wakaf Tapai itu, kereta yang dinaiki anggota polis terbabit hilang kawalan dan merempuh pokok.
Katanya Mohd Zaim kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini manakala rakan rondanya dirawat sebagai pesakit luar.
Polis kini giat mengesan dua suspek terbabit yang berjaya meloloskan diri, katanya.
"Kita sedang mengesan suspek tersebut melalui kereta yang mereka gunakan dan siasatan awal juga menunjukkan kumpulan ini terlibat dalam beberapa kes mencuri kenderaan di negeri ini," katanya.
No comments:
Post a Comment