Saturday, May 4, 2013

Azizulhasni Idam GP Jerman Julai Depan


Jaguh  sukan lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang menetapkan sasaran untuk menaiki podium pertamanya musim ini pada Kejohanan Trek Grand Prix (GP) Jerman di Cottbus Julai depan.

Pelumba berusia 25 tahun itu baharu sahaja memulakan fasa awal latihannya di Melbourne, Australia Februari lalu selepas berehat panjang tanpa menyertai sebarang kejohanan.

Sebelum itu, dia juga mengalami masalah visa untuk ke Melbourne, sekali gus terpaksa menjalani latihan sendirian di Malaysia.

Akibatnya, pelumba yang dikenali sebagai The Pocketrocketman itu gagal menyumbang sebarang pingat kepada negara pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi yang berlangsung awal Mac lalu.

Namun, selepas lebih dua bulan menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih, John Beasley, Azizulhasni menjelaskan dia sudah mula menunjukkan peningkatan dan kini berhasrat menjadikan GP di Eropah sebagai medan pemanas badan sebelum beraksi pada Siri Piala Dunia Klasik Oktober tahun ini.

“Alhamdulillah, setakat ini latihan semuanya berjalan dengan baik. Saya mahu mendapatkan semula rentak kayuhan sedikit demi sedikit, dan buat masa ini saya masih lagi dalam fasa awal persiapan,” jelas Azizulhasni kepada Kosmo! semalam.

“Dalam usaha mengembalikan prestasi sebenar, saya akan menyertai beberapa kejohanan GP di Eropah sebagai medan pemanas badan bagi menghadapi Siri Piala Dunia Klasik.

 “Bagaimanapun, kalau boleh saya mahu sekurang-kurangnya menaiki satu podium pada GP Jerman dan jika berjaya, ia akan menjadi suntikan semangat kepada saya bagi menghadapi kejohanan lain musim ini,” ujarnya yang turut membahagikan masa sebagai pelajar jurusan sarjana dalam bidang Sains Sukan di Universiti Victoria.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu juga memberitahu, dia mempunyai misi mencatat sekurang-kurangnya satu kejayaan podium pada Siri Piala Dunia Klasik bagi menebus prestasi hambar tahun lalu selepas kerap kali dihimpit kecederaan.

Biarpun sibuk dengan tugas sebagai seorang bapa kepada anak perempuannya, Amna Maryam, bagaimanapun dia menjadikan kelahiran anak pertamanya itu sebagai penyuntik semangat buat dirinya untuk meneruskan karier sebagai pelumba.

“Pada Piala Dunia Klasik musim ini saya juga mahu menaiki satu podium bagi menebus semula prestasi hambar musim lepas,” katanya yang pernah menjadi pelumba Keirin No. 1 dunia pada 2008, 2009 dan 2010.

 “Tahun lalu saya kerap kali dihimpit kecederaan baru dan lama, maka ia sedikit sebanyak mengganggu fokus dan latihan saya.

“Bagaimanapun, saya harap musim ini saya mampu beraksi lebih baik lagi dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

 “Kehadiran Maryam dalam hidup saya juga menyuntik lagi keazaman saya untuk berlatih lebih keras. Apabila pulang saja daripada latihan, badan yang letih pun tidak terasa selepas melihat wajah anak saya,” ujarnya

No comments:

Post a Comment