Saturday, May 11, 2013

Azmin Pertikai Wan Azizah Putuskan Calon MB Tanpa Bincang


Pada ketika pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR)berbalah sesama sendiri meengai jawatan Menteri Besar Selangr, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan bahawa pihak Istana Selangor telah menerima senarai calon Menteri Besar yang dikemukakan oleh pucuk pimpinan PKR kelmarin.

 Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai kandungan surat senarai calon berkenaan kerana dokumen tersebut adalah sulit.

"Pihak istana sudah menerimanya (kelmarin) dan kita tunggulah proses selanjutnya nanti tentang pengumuman bakal Menteri Besar Selangor," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Shah Alam semalam.



Surat senarai calon Menteri Besar yang dihantar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu dikatakan telah ditandatangani oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Jawatan Menteri Besar Selangor dikatakan menjadi persaingan antara penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Azmin mempertikaikan surat senarai calon Menteri Besar yang dihantar oleh Wan Azizah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin.

Menurut beliau, surat tersebut yang dihantar oleh Wan Azizah Ismail dibuat tanpa perbincangan dan persetujuan semua pimpinan tertinggi parti itu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Selangor.

"Saya tidak persoalkan keputusan Pas dan DAP berhubung calon Menteri Besar tetapi saya bimbang tentang keputusan surat yang dihantar ke istana tanpa terlebih dulu berbincang dengan ADUN PKR lain, yang juga satu daripada tiga komponen dalam Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam.

Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Pimpinan PKR Selangor dan memutuskan beberapa calon yang layak untuk jawatan Menteri Besar dan diserahkan kepada Wan Azizah kelmarin.

Beliau menegaskan beliau sanggup menerima siapa juga Menteri Besar Selangor, namun perlu ada satu konsensus dibuat melibatkan semua pimpinan PKR negeri dan ADUN.

Dalam pada itu, Azmin turut mendesak kepimpinan negeri Selangor yang bakal dipilih melakukan reformasi pentadbiran dengan menggunakan rizab bernilai RM2.6 bilion serta bersikap responsif terhadap permasalahan rakyat seperti isu jalan berlubang, sampah yang tidak dipungut, masalah bekalan air dan banjir.

Berhubung dakwaan beliau kemaruk jawatan Menteri Besar, Azmin berkata, sekiranya beliau bersikap sedemikian, jawatan itu telah pun disandangnya sejurus pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2008.

Katanya, jawatan itu telah ditawarkan kepada beliau oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah PKR sangat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan amalan kronisme yang melampau dalam pentadbiran negeri, namun menolaknya demi menjaga kestabilan parti.

No comments:

Post a Comment