Saturday, May 11, 2013

PAS Bantah Perhimpunan - Minta Anwar, Pembangkang Terima Keputusan PRU13

Sohaimi minta pemimimpin pembangkang akur keputusan PRu13 pada sidang media semalam.
Dewan Ulama PAS tidak menyokong tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan untuk membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).


Sebaliknya ketuanya, Datuk Harun Taib meminta semua pemimpin pakatan pembangkang menerima keputusan rakyat Ahad lalu dengan hati terbuka.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor, Datuk Sohaimi Shahadan juga meminta pakatan pembangkang menerima hakikat bahawa rakyat telah memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara buat tempoh lima tahun lagi.

Katanya, tindakan pembangkang mengadakan perhimpunan haram bagi membantah keputusan PRU-13 di Kelana Jaya baru-baru ini tidak membawa sebarang erti. Ini kerana, katanya, sekalipun 100,000 orang menghadiri perhimpunan itu, ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menyatakan bahawa 28 juta rakyat Malaysia menyokong mereka.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menerima hakikat bahawa tiga negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor masih lagi diperintah pembangkang.

"Justeru, mereka perlulah menerima hakikat berkenaan dan tidak mengheret rakyat dalam perjuangan politik bersifat peribadi oleh pemimpin pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada sidang akhbar semalam.

Beliau berkata demikian bagi mewakili 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara yang menyuarakan sokongan terhadap BN.

Antara NGO yang hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Persatuan Kontraktor Malaysia dan Persatuan Kebajikan Sosial Masyarakat Bestari Daerah Gombak.

Sohaimi berkata, pakatan pembangkang juga perlu berhenti memfitnah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pihak berkenaan telah pun menjalankan tugas dengan baik sepanjang PRU-13 berlangsung pada Ahad lalu.

No comments:

Post a Comment