Saturday, May 11, 2013

Bebas Tuduhan Bunuh Pembantu Kedai di Paya Keladi, Februari 2012


Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, kelmarin membebaskan dan melepaskan seorang lelaki atas tuduhan membunuh seorang pembantu kedai di sebuah kedai tekstil di bangunan komersial Paya Keladi, Jalan Kampung Daik, di sini, 1 Februari tahun lalu.

 Bagaimanapun, Hakim Mohd Yazid Mustafa mengarahkan tertuduh, Albert a/k Majang, 24, yang berasal dari Kampung Melikin, Serian, Sarawak, dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru, sehingga mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu.

“Mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah membunuh mangsa, bagaimanapun semasa kejadian, tertuduh didapati dalam keadaan tidak waras dan tidak tahu serta tidak memahami kesan akibat kesalahannya itu telah menyalahi undang-undang.

“Disebabkan itulah, mahkamah memerintahkan agar tertuduh dihantar menerima rawatan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, sehingga mendapat perkenan Sultan Terengganu seperti mana di bawah Seksyen 348 Kanun Kesalahan Jenayah,” kata Mohd Yazid dalam penghakiman keputusannya, kelmarin.

Albert didakwa telah membunuh Wan Manisah Wan Mansor, 27, pada 1 Februari tahun lalu, kira-kira jam 8 malam, di tingkat bawah kedai UB Textile Sdn Bhd di Pusat Niaga Paya Keladi.

Albert didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi, manakala Albert diwakili peguam bela, Nordin Kassim yang dilantik oleh mahkamah.

SH Online

No comments:

Post a Comment