Saturday, May 11, 2013

Supt Ghazali Bersyukur Anak Sudah Stabil

Dua anak pegawai polis yang terbabit kemalangan ngeri ketika mengikut bapa mereka pulang mengundi 30 April lepas kini semakin stabil dan telah dikeluarkan daripada unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu.

Supt Ghazali Daud berkata perkara itu dimaklumkan kakaknya yang menjaga Nur Aliah Afifah, 7 dan Nur Aliah Atikah, 6 di hospital berkenaan.

Kakak juga maklumkan Atikah sudah sedar petang kelmarin  serta tidak lagi bergantung kepada tiub pernafasan, katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), di Kuala Ternggaanu, semalam.

Beliau yang dirawat di KTS sebelum itu menerima ziarah Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Masa untuk saya melawat anak-anak agak terhad kerana kami dirawat di hospital yang berlainan, namun saya sentiasa menghubungi kakak dan anak saudara saya yang menjaga mereka," kata Ghazali.

Katanya kecederaan yang dialaminya termasuk patah kaki kanan juga beransur pulih.

Dalam kejadian awal pagi di Km 27, Jalan Kuala Berang-Kuala Terengganu itu isterinya Haniza Abd Rahman, 40 serta dua anak mereka Ahmad Firdaus Izuddin, 11 dan Nur Aliah Adibah, 10 maut.

Selain Nur Aliah Afifah dan Nur Aliah Atikah yang parah, tiga lagi anak mereka iaitu Ahmad Fahmi Izzudin, 12; Aina Yusra, 3 dan Akilah Husnah, tujuh bulan mengalami cedera ringan.

 Sembilan sekeluarga itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Gong Pak Jin, Batu Rakit bagi membolehkan Ghazali yang bertugas di Unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman mengundi awal pada pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi bantuan sewajarnya bagi meringankan beban keluarga malang berkenaan.

No comments:

Post a Comment