Sunday, May 5, 2013

BN Ada Harapan Cerah Kembali Berkuasa Di Negeri Dikuasai Pembangkang


Barisan Nasional  dijangka terus berkuasa di Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah, tanpa banyak rintangan.

Sebaliknya, setelah merasai kepahitan akibat kehilangan penguasaan di beberapa negeri pada 2008, BN bingkas kembali untuk melancarkan serangan secara habis-habisan untuk menguasai kembali negeri berkenaan.

Kini terdapat tanda-tanda ia akan kembali menguasai Kedah melalui pilihan raya umum ke-13 (PRU13), hari ini.

BN dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 daripada 36 kerusi di Kedah memandangkan keadaan Pakatan Rakyat yang terkial-kial dalam usahanya untuk menangkis kempen BN, di samping kehadiran calon Bebas yang bakal mencuri penyokongnya.

Perhatian utama pastinya bertumpu kepada Datuk Mukhriz Tun Mahathir, yang bertanding bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Ayer Hitam di kawasan parlimen Jerlun, kerusi yang dimenanginya pada 2008.

Ini kerana beliau dilihat akan menduduki kerusi menteri besar sekiranya BN kembali berkuasa di negeri itu. Mukhriz berkata beliau yakin, BN mempunyai peluang lebih cerah kali ini setelah hanya meraih 13 kerusi negeri pada PRU lepas berikutan kegagalan PAS yang menerajui pentadbiran negeri itu, melaksanakan sebarang pembangunan serta ketidakmampuannya meneruskan projek yang dimulakan kerajaan BN sebelum ini.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, tidak sehaluan dengan timbalannya Datuk Phahrolrazi Zawawi. BN juga berusaha secara habis-habisan untuk menawan kembali Selangor dan Pulau Pinang yang terlepas daripada tangannya pada PRU lepas serta merampas Kelantan yang terletak di bawah penguasaan PAS sejak 23 tahun lepas.

Selangor, negeri terkaya di Malaysia, menyaksikan pertandingan sengit apabila BN melancarkan gerak gempurnya dengan menurunkan barisan calon yang hebat dengan diterajui sendiri pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemerhati politik berkata parti gabungan itu mempunyai harapan baik untuk memenangi 29 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, berbanding hanya 20 kerusi yang dimenanginya pada 2008.

Perdana menteri berkata agenda utama kerajaan BN ialah untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu, yang menjadi semakin parah di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Keputusan Abdul Khalid untuk bertanding di Pelabuhan Klang menyerlahkan kebenaran cakap-cakap sebelum ini tentang pelariannya dari Ijok, kerusi yang dimenanginya pada 2008, kerana bimbang akan ditolak pengundi di sana.

Dalam pertarungan untuk menguasai Pulau Pinang, BN yang memenangi 11 daripada 40 kerusi pada PRU 2008, kesemuanya oleh calon Umno, mendapat sambutan menggalakkan daripada pemilih, terutama di Bukit Tengah, Pulau Tikus, Tanjung Bunga dan Bagan Dalam. Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow bertanding di Bukit Tengah untuk menentang penyandang kerusi itu daripada PKR Ong Chin Wen, manakala rakannya daripada Gerakan dan muka baharu Rowena Yap, serta bekas timbalan menteri Datuk Seri Chia Kwang Chye, memberi tentangan sengit kepada lawan masing-masing di Pulau Tikus dan Tanjung Bunga.

Di Bagan Dalam, calon BN M.Karuppanan daripada MIC, yang fasih berbahasa Mandarin, diterima baik oleh pemilih.

Ketika melawat Pulau Pinang pada 1 Mei, Najib mengumumkan pembinaan 9,999 unit rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu milik di negri itu serta memberi jaminan bahawa Umno tidak akan menuntut jawatan ketua menteri sekiranya BN kembali berkuasa di negeri itu.

Di Kelantan, peningkatan penerimaan pemilih yang begitu dahagakan pembangunan dan perubahan, memberi sinar harapan kepada BN untuk melakar sejarah gemilang di Dewan Undangan Negeri Kelantan yang mempunyai 45 kerusi itu.

Pada PRU 2004, BN memenangi 22 kerusi di dewan itu, tetapi hanya meraih enam kerusi pada PRU 2008.

Kali ini, parti gabungan itu berkeyakinan mampu menguasai sekurang-kurangnya 23 kerusi, manakala pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed diumumkan akan menduduki kerusi menteri besar sekiranya parti itu berjaya mengetepikan PAS.

Di PERAK, BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berkeyakinan untuk menguasai negeri itu setelah menyaksikan drama lompat parti pada 2009 yang memberi peluang kepada BN meraih majoriti di dewan undangan negerinya yang mempunyai 59 kerusi. BN, yang menguasai 28 kerusi pada 2008, kini menyasarkan 34 kerusi, dengan kebanyakan kerusi dimenangi Umno, manakala Pakatan Rakyat pula meramalkan ia mampu memenangi 38 kerusi.

Parti yang bertanding memberi fokus terhadap 18 kawasan yang mencatat kemenangan kurang 1,000 undi pada PRU lepas iaitu Selama, Kubu Gajah, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Selinsing, Kuala Sepetang, Trong, Kamunting, Pokok Assam, Lubok Merbau, Manjoi, Kepayang, Manong, Pangkalan Baharu, Sungai Rapat, Teja, Rungkup dan Changkat Jong.


No comments:

Post a Comment