Friday, May 3, 2013

Dari Kampung Nelayan Ke Anjung Ilmu, Terengganu Semakin Di Hadapan


Keazaman tinggi rakyat dan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu untuk berubah dan membina masa hadapan yang lebih baik, menjadi asas utama kepada apa yang telah dicapai hari ini.

Suatu ketika dahulu apabila disebut sahaja Terengganu, masyarakat luar akan memberi gambaran sebuah perkampungan nelayan di tepi pantai dengan aktiviti-aktiviti perikanannya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program cakna rakyat atau yang mengambil berat tentang rakyat untuk memastikan rakyat di Terengganu tidak ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan negara.

"Hari ini rakyat boleh nilai apa yang telah kita (BN) buat untuk rakyat Terengganu, kita berjaya dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, sukan dan ekonomi," katanya dalam satu temu ramah khas bersama ketua biro akhbar-akhbar di Terengganu di Kuala Terengganu,  baru-baru ini.

Beliau berkata kejayaan tersebut tidak akan dicapai sekiranya kerajaan tidak merangka strategi serta mempunyai kaedah dan inisiatif yang terbaik agar segala perancangan dapat dilaksana dengan lebih sistematik.


Menurutnya rakyat boleh membuat perbandingan bagaimana keadaan negeri Terengganu ketika berada di bawah pemerintahan PAS selama sepenggal (1999-Ahmad  Said selaku Pengerusi BN Terengganu berkata sejak mengambil alih 2004) dan keadaannya hari ini.

Terengganu daripada PAS, kerajaan BN melaksanakan pelbagai agenda pembangunan bukan sahaja dari segi prasarana, ekonomi malah juga pembangunan modal insan melalui pendidikan yang cemerlang.

Katanya,  apa yang kerajaan rancang di Terengganu selama ini bukan janji kosong malah telahpun dilaksanakan dan sebagai contoh pembinaan 10,000 rumah yang ketika ini 8,000 telahpun siap manakala selebihnya dalam pembinaan.

Di bawah Aku Janji tambahan, BN Terengganu turut menyenaraikan rancangan pembinaan 10,000 lagi rumah mampu milik di negeri itu iaitu hampir 1,000 unit untuk setiap lapan kawasan Parlimen di Terengganu, kata Ahmad Said.


"Ini pencapaian yang BN telah buat di Terengganu, ia tidak dapat dinafikan dan ia adalah realistik," katanya sambil menjelaskan BN juga akan menambah tempoh pajakan tanah individu dari 30 tahun kepada 60 tahun.

Dalam pembentangan Bajet 2013, Terengganu memperuntukan RM53.51 juta untuk pemantapan modal insan berkualiti, merangkumi program bermula di tadika, peringkat persekolah rendah dan menengah selain peringkat pengajian tinggi.

Terengganu juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang memberi kemudahan e-book kepada pelajar sekolah rendah dan tahun lalu sebanyak 21,596 murid tahun empat telah menerima kemudahan tersebut.

Untuk penajaan pelajar cemerlang, kerajaan Terengganu melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan RM123.85 juta untuk penajaan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di dalam dan luar negara.


Pada Mac tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records berikutan kejayaan Terengganu paling cemerlang dalam keputusan UPSR buat tahun ke-11 berturut-turut.

Selain itu, Terengganu turut catat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) (empat tahun berturut-turut) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tiga tahun berturut-turut.

Sementara itu, penganalisis politik dari Pusat Pembangunan Sosioekonomi Universiti Malaysia Terengganu Prof Dr Ibrahim Mamat ketika ditemui Bernama di Kuala Terengganu berkata sejak BN kembali memerintah pada 2004, beliau melihat masalah dalaman Umno di Terengganu semakin pulih secara berperingkat-peringkat.


Pengalaman lalu banyak memberi pengajaran kepada pemimpin BN di Terengganu bahawa perpaduan dalam parti merupakan asas paling penting serta mengetepikan soal peribadi untuk agenda pembangunan rakyat dan negeri yang lebih besar, katanya.

Beliau berkata walaupun BN Terengganu berhadapan krisis kepimpinan pada 2008, ia sedikitpun tidak menjejaskan usaha memajukan negeri ini, malah bermula dari tempoh itu lahir banyak idea baharu khasnya dalam memartabatkan Terengganu sebagai negeri "Anjung Ilmu" dan beberapa lagi program pembangunan "cakna" rakyat.

Terengganu mempunyai lapan kawasan Parlimen iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman selain 32 Dewan Undangan Negeri. Pada pilihan raya umum ke-12, BN menang 24 DUN dan hanya kalah dua Parlimen termasuk Parlimen Kuala Terengganu ketika pilihan raya kecil 2009.

No comments:

Post a Comment