Saturday, May 4, 2013

Tiga Pondok Polis Dibuka Di Lokasi Panas Setiu

Tiga pondok polis dibuka di lokasi panas di daerah ini bagi memudahkan aktiviti pemantauan berhubung Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijalankan dengan lebih mudah dan berkesan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, tiga lokasi dimaksudkan adalah Kampung Bintang 1 (sempadan daerah Setiu dan Besut), Penarik dan Sungai Tong sebagai gantian kepada balai polis bagi kemudahan orang awam.

“Selaras dengan hasrat ketua polis negara untuk memastikan pemantauan lebih rapi dijalankan polis sepanjang PRU ini, kami berusaha mengenal pasti lokasi panas yang sesuai untuk dijadikan pos polis, yang mana pondok ini berfungsi sebagai pusat aduan untuk semua petugas berkumpulan bagi perkongsian maklumat dan menerima arahan.

“Pondok ini adalah sumbangan kerajaan negeri dan akan beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh berkempen ini,” katanya, semalam.

Menurut Ab Rahman, seramai empat petugas termasuk seorang penyelia akan ditempatkan di pondok tersebut, manakala pasukan polis peronda juga akan singgah pada waktu tertentu bagi membantu memantau keadaan supaya sentiasa terkawal.

“Selain memantau aktiviti PRU, orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan jenayah setempat di kawasan mereka.

“Malah, selepas hari mengundi, pos ini akan dialihkan ke tempat tumpuan umum bagi tujuan menunjukkan kehadiran polis dan pencegahan jenayah,” katanya.

No comments:

Post a Comment