Thursday, May 9, 2013

Enam Bahagian MCA Pulau Pinang Desak Soi Lek Lepas Jawatan

Setiausaha MCA Bahagian Bayan Baru, David Yim (kanan) bersama kepimpinan MCA Pulau Pinang mengadakan sidang akhbar menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meletakkan jawatan sebagai presiden parti selepas sambutan dingin masyarakat Cina terhadap parti MCA pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 di Pejabat MCA Cawangan Jelutong di Georgetown.
Enam bahagian MCA di Pulau Pinang mendesak Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melepaskan jawatannya serta merta berikutan kekalahan teruk parti terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Enam bahagian berkenaan ialah Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Bayan Bayu, Bukit Bendera, Jelutong dan Tanjong.
Jurucakap kumpulan berkenaan, David Yim Boon Leong, berkata peletakan jawatan itu penting bagi membolehkan MCA kembali pulih untuk mengumpul kekuatan parti terbabit.

Beliau yang juga Setiausaha MCA Bahagian Bayan Baru itu berkata, Soi Lek perlu bertanggungjawab dengan tindakannya yang menyebabkan kekalahan teruk MCA dan peletakan jawatannya membolehkan maruah parti terbabit dipelihara.

Katanya, kepemimpinan parti negeri sakit hati dan kecewa apabila menerima sindiran daripada rakyat bahawa MCA adalah sebuah parti umpama kedai serbaneka 7 -Eleven yang hanya pandai menjual DVD saja.

"Soi Lek mengamalkan kronisme dalam pemilihan calon PRU-13 hingga menyebabkan semua pihak, terutama rakyat tidak berpuashati.

Malah, parti turut dicemari dengan krisis moral yang bertentangan dengan komuniti Cina.

"Beliau juga bersikap penting diri dan bongkak dalam menguruskan isu membabitkan kaum Cina hingga menyebabkan MCA ditolak masyarakat Cina yang kecewa," katanya pada sidang media di Pejabat MCA Jelutong, Jalan Anson, di  Georgetown semalam.

Hadir sama, Pengerusi MCA Jelutong, Datuk Leow Soo Tat; Pengerusi MCA Permatang Pauh, Datuk Ma Kok Ben; Pengerusi MCA Tasek Gelugor, Kong Chu Hock; Timbalan Pengerusi MCA Tanjong, Lee Hack Teik dan Timbalan Pengerusi MCA Bukit Bendera, Tan Khai Beng.

No comments:

Post a Comment