Thursday, May 9, 2013

BN, Mukhriz Ajak Rakyat Berdoa Agar Azizan Segera Sembuh

Yang  di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berangkat menziarahi bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.
 Barisan Nasional (BN) semalam mengajak rakyat Malaysia berdoa agar bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang segera sembuh.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak kemudian menyiarkan semula kenyataan daripada akaun Twitter rasmi BN itu di Twitter beliau.

Azizan, 69, yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah dimasukkan ke hospital itu selepas dikatakan mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) sejak Isnin lepas.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah hari ini menziarahi Azizan yang dimasukkan ke wad Unit Rawatan Kardiologi (CCU) Hospital Pulau Pinang.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta anakanda baginda Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff serta Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Badlishah.

Turut melawat Azizan ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Perlis Azlan Man.

Sementara itu di Alor Setar, Kerajaan Negeri Kedah mendoakan bekas Menteri Besar Kedah  yang dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), agar cepat sembuh.

Mukhriz dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata keadaan kesihatan Azizan masih kritikal tetapi stabil.

"Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman mendoakan rawatan yang sedang dijalani akan berjaya memulihkan keadaan beliau sehingga sembuh sepenuhnya InsyaAllah," katanya.

Mukhriz semalam mengiringi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun serta kerabat diraja Kedah menziarahi Azizan di HPP.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom berkata beliau turut berdoa agar Azizan cepat sembuh dan dapat bertugas semula sebagai wakil rakyat.

"Saya harap beliau akan cepat sembuh, cepat sihat dan dapat bersama-sama membantu menaikkan Kedah dengan pengalaman yang beliau ada," katanya.

No comments:

Post a Comment