Thursday, May 30, 2013
Enam Jabatan Kerajaan Negeri Capai Penarafan Empat Bintang
Tiga lagi jabatan kerajaan negeri berjaya memperolehi penarafan empat bintang tahun ini, menjadikan enam jabatan kesemuanya mencapai tahap tertinggi itu sejak tahun lalu.
Penarafan dijalankan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu diumumkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dua hari lalu.
Enam jabatan berkenaan adalah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kehakiman Syariah dan Majlis Perbandaran Dungun, selain tiga jabatan terdahulu, iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Pejabat Perbendaharaan Negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata penarafan empat bintang kepada enam agensi kerajaan selepas mencapai markah melebihi 90 peratus yang melibatkan pengurusan kewangan dan aset jabatan.
“Perkara itu diumumkan dua hari lalu dan majlis penyampaian hadiah penarafan bintang berkenaan akan dijalankan pada Ogos nanti ,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Menteri Besar berkata, penarafan bintang sebagai satu mekanisme pengukuran prestasi budaya kecemerlangan agensi kerajaan dalam perkhidmatan awam itu dijangka akan meningkat pada masa akan datang.
Sehingga kini, beliau berkata semua jabatan kerajaan di negeri ini mencapai penarafan paling kurang tiga bintang dan disasarkan lebih banyak jabatan memperolehi penarafan tertinggi empat bintang bermula tahun depan.
No comments:
Post a Comment