Thursday, May 30, 2013
Petronas Belanja RM26 Juta Untuk Bantu Keluarga Miskin
PETRONAS memperuntukkan RM26 juta bagi membiayai Program Sentuhan Harapan Petronas yang membantu 13,500 keluarga miskin di seluruh negara sejak 2010.
Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Haniff Hassan berkata, menerusi program tanggungjawab sosial korporat syarikat itu, keluarga terbabit diberi bantuan kewangan dan kemahiran bagi membebaskan mereka daripada kepompong kemiskinan.
"Mereka menerima sumbangan bulanan dalam bentuk makanan asas bernilai RM80, selain diberi peluang membina kemahiran diri melalui pelbagai kursus seperti kursus jahitan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sijil latihan kemahiran menjahit di Kuala Terengganu. semalam.
Menurutnya kursus jahitan yang dijalankan itu adalah yang pertama dan jika kumpulan perintis tersebut berjaya memanfaatkan kemahiran mereka dan meningkatkan sosioekonomi keluarga, program berkenaan akan diperluaskan.
Semua peserta yang tamat kursus akan menerima mesin jahit selain menjalani kursus lanjutan bagi memantapkan kemahiran, katanya.
Sementara itu seorang peserta yang ditemui Che Maznah Kassim, 51, berkata beliau mahu membuka perniagaan jahitan bagi menampung pendapatan keluarga kerana suaminya sudah tidak mampu bekerja selepas serangan jantung.
"Sekarang ini, hanya kakak seorang sahaja yang keluar mencari rezeki mengambil upah bekerja kampung, namun ia tak mencukupi kerana perbelanjaan sekarang semakin mahal.
"Dengan adanya kemahiran menjahit ini, memang kakak harap sangat dapat menampung keperluan kami dan kakak sudah mula mempromosikan perniagaan baru kakak ini kepada kawan dan keluarga," kata ibu kepada tujuh anak itu.
Bagi Kamariah Mohamad, 57, dari Paka pula, kehidupan sebagai ibu tunggal semakin mencabar dan kemahiran yang diperolehi dari latihan Petronas itu akan dimanfaatkannya sebaik mungkin untuk menyara tujuh anaknya.
No comments:
Post a Comment